
Mereka menyuarakan aduan itu pada satu sesi town hall bersama Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Ahmad Maslan di Shah Alam pada Khamis.
FMT menemu bual salah seorang usahawan yang mendakwa sepanjang 23 tahun, tidak ada satu pun agensi IKS di negara ini membantunya merealisasikan impiannya untuk membuat dan mengeksport amplifiers tiub dan pedal efek untuk gitar tempahan khas.
Hussaini Abdul Karim berkata beliau sudah pergi kepada hampir semua agensi berkaitan dalam negara ini, termasuk yang sepatutnya membantu Bumiputera, untuk cuba mendapatkan pinjaman bagi memulakan perniagaannya.
“Saya pernah ke SME Corporation Malaysia, Perbadanan Usahawan Nasional Berhad, Mara, Unit Peneraju Agenda Bumiputera dan MyCreative Ventures, itu antaranya.
“Saya ditolak, dan tidak ada 1 tempat pun yang beri saya sebabnya.
“Saya mahukan pinjaman untuk memulakan syarikat dan pergi ke beberapa agensi berkenaan. Mereka beritahu saya perlu tunjukkan yang saya sudah memulakan perniagaan untuk sekurang-kurangnya 3 bulan sebelum mereka boleh beri saya pinjaman.
“Tapi, saya kata, itu bukan memulakan perniagaan namanya.
“Mereka minta saya buat permohonan rasmi. Saya buat tapi ditolak. Saya diberitahu boleh buat rayuan. Jadi saya merayu tetapi ditolak juga, dan merayu lagi dan ditolak lagi. Tidak pernah diberi sebab mengapa,” katanya.
Katanya, beliau mengalami perkara yang hampir serupa dengan semua agensi berkenaan.
Akhirnya, beliau mendapat bantuan daripada agensi Singapura yang memberikan pinjaman kepadanya untuk memulakan perniagaan. Setakat ini beliau berjaya membuat, menjual dan mengeksport pedal gitar, malah hingga ke Amerika Syarikat.
Ketika ditanya mengapa beliau masih mahu berpangkalan di Malaysia, Hussaini berkata beliau mahu meminimumkan kos pengeluaran supaya dapat mengembangkan lagi perniagaannya, termasuk mengeluarkan amplifier gitar.
“Mahal untuk beroperasi dari Singapura, dan salah satu prasyarat dikenakan terhadap ahli perniagaan asing di sana ialah mereka perlu membenarkan warga Singapura memiliki 30% saham.
“Jadi, 30% daripada untung saya akan diberi pada mereka. Saya tidak mahu berkongsi keuntungan saya. Duit saya patut jadi duit saya,” katanya.
Hussaini turut meluahkan kesukarannya pada mesyuarat town hall Khamis lalu.
Ketika Ahmad memberitahu Hussaini supaya terus mencuba, beliau menjerit dari barisan belakang dalam dewan itu:”Saya sudah mencuba selama 23 tahun.”
Ahmad mengulangi lagi beliau perlu terus mencuba.
Ketika ditanya mengapa beliau masih tidak berputus asa meskipun tidak diberikan bantuan selama ini, Hussaini berkata beliau yakin dan percaya dengan perniagaannya.
“Muzik mungkin berubah ikut peredaran masa, dan teknologi juga atau peralatan muzik mungkin berbeza, tetapi gitar elektrik akan selalu relevan,” katanya.