Polis montel kena kurus untuk sahkan jawatan

Polis montel kena kurus untuk sahkan jawatan

Anggota PDRM yang mengalami berat badan berlebihan perlu menyertai program Trim dan Fit yang akan bermula sekali lagi pada 2018.

polis-3
PETALING JAYA:
Program Trim dan Fit untuk anggota PDRM akan dikuatkuasakan pada 2018 sebelum pengesahan jawatan dan kenaikan pangkat dilakukan.

Program perintis anjuran Jabatan Pengurusan PDRM dengan kerjasama Jabatan Kesihatan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (JKWP) itu pada masa ini sedang ditambah baik selepas sesi pertama tamat Julai lalu.

Pegawai Sains Pemakanan JKWP Asyraf Ismail berkata menerusi program pertama itu yang diadakan di Pusat Latihan Polis Kuala Lumpur, 35 anggota polis terlibat berjaya menurunkan berat badan dengan sistematik, selamat dan berkesan.

“Program ini berakhir pada Julai lalu dan dijangka bersambung dalam masa 2 tahun lagi kerana KKM perlu menyediakan modul lebih mantap dalam memastikan sasaran berat badan anggota lebih berkesan,” katanya kepada FMT.

Asyraf berkata model terbaru itu memerlukan kelulusan pihak atasan dan pada masa sama proses mengemas kini polisi dan data diperlukan sedang dibuat kerana program baru yang akan diperkenalkan masih banyak kekurangan perlu diperbaiki.

“Kita akan bantu sedaya upaya menangani masalah obesiti di kalangan anggota PDRM pada masa akan datang,” katanya.

Program Trim and Fit mengambil masa 6 bulan membantu anggota PDRM yang mempunyai berat badan serta ukur lilit pinggang berlebihan.

“Keputusan menunjukkan 100% peserta mencatatkan penurunan berat badan dalam julat yang disarankan. Hasil daripada aktiviti disediakan anggota PDRM yang terlibat berjaya menurunkan berat badan antara 2.5 kg- 21 kg,” katanya.

Beliau berkata seramai 10 pelatih PDRM memantau anggota menjalani latihan setiap hari di gimnasium manakala pola pemakanan turut dikawal rapi dan pelatih bertugas akan mencatat berat badan pada setiap minggu.

“Semua anggota diberi diari pemakanan dan kita mula pantau pengambilan makanan harian mereka sehingga awal Julai lalu.

“Di situ juga kita mengadakan Runding Cara Pemakanan iaitu satu sesi kaunseling membantu anggota mengawal nafsu makan,” katanya.

Pada masa sama, PDRM berkata memiliki tubuh badan ‘Trim dan Fit’ bukanlah kriteria utama untuk semua pegawai polis menikmati kenaikan pangkat tetapi pengenalan syarat baharu itu menjadi salah satu kriteria yang wajib ada.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.