Konvoi Bersih 2.0 dakwa diganggu si Baju Merah di Lumut

Konvoi Bersih 2.0 dakwa diganggu si Baju Merah di Lumut

Aktivis Ivy Josiah mendakwa kereta yang dinaikinya bersama ahli Parlimen Batu dan seorang lagi peguam, diganggu lebih 40 orang berbaju merah dengan motosikal dan kereta.

ivy-josiah-1
PETALING JAYA:
Aktivis Bersih di Lumut, Perak mendakwa mereka diganggu penyokong Baju Merah, ketika memulakan konvoi Bersih 5 di sana, hari ini.

Bercakap kepada FMT, Exco Persatuan Kebangsaan Hak Asasi Manusia (Hakam) Ivy Josiah berkata masalah bermula selepas pelancaran konvoi itu di Lumut.

Konvoi Bersih 5 di seluruh negara bermula hari ini, di beberapa lokasi.

Ivy mendakwa ketika pelancaran konvoi Lumut, polis mengasingkan penyokong Baju Merah diasingkan dan aktivis Bersih.

Bagaimanapun, katanya masalah bermula selepas ia bermula di jalan raya apabila penyokong Baju Merah mengejar kira-kira 12 kenderaan membawa bendera Bersih yang berada dalam barisan konvoi.

Beliau mendakwa kira-kira 40 penyokong Baju Merah yang menunggang motosikal dan memandu kereta menyasarkan kereta dalam barisan konvoi, menjerit-jerit ke arah mereka dan menarik bendera yang menyaluti kenderaan berkenaan.

“Mereka sangat agresif dan provokatif. Dalam kereta yang saya naiki, turut serta ialah Ahli Parlimen Batu Tian Chua, pemandunya dan Presiden Persatuan Peguam Wanita Meera Samanther.

“Mereka menjerit Mati Bersih, dan salah sebuah kereta mereka akhirnya memotong dan menghalang kenderaan kami, menyebabkan berlaku perlanggaran kecil,” katanya kepada FMT.

Ivy mendakwa pemandu kereta itu yang memakai baju berwarna merah, keluar dan mula mengelilingi kereta mereka tetapi mereka tetap tenang dan enggan keluar dari kereta.

Mereka akhirnya kembali memandu kereta dan meneruskan perjalanan ke Teluk Intan, Perak.

Beliau berkata peserta konvoi yang lain turut memaklumkan berdepan gangguan sama, dengan ada penunggang motosikal terbabit menumbuk cermin kereta mereka.

Sementara itu, Pengerusi Bersih 2.0 Maria Chin Abdullah memberitahu FMT beliau dimaklumkan oleh aktivis Bersih di Padang Besar, Perlis yang seorang penyokong Bersih dibaling batu oleh penyokong Baju Merah.

Katanya, beliau sangat kecewa dengan apa yang berlaku, kerana mereka sepatutnya tidak perlu bertindak seperti gengster.

Sementara itu, peneraju gerakan Baju Merah, Datuk Jamal Yunos berkata beliau tidak pernah mengarahkan penyokongnya menggunakan kekerasan .

Bagaimanapun, katanya beliau tidak boleh mengawal kemarahan penyokong Baju Merah dan jika Bersih meneruskan rancangan mereka, keadaan akan jadi lebih agresif.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.