
Datuk Husam Musa berkata, kerajaan negeri perlu membekukan kegiatan pembalakan di Gua Musang buat sementara waktu dan melantik perunding bebas bagi menjalankan kajian itu.
Beliau berkata, jika hasil kajian mendapati kegiatan pembalakan itu menjejaskan kehidupan Orang Asli, kerajaan negeri perlu mempertimbangkan pemberian hak milik tanah berserta syarat sesuai kepada komuniti terbabit.
“Pemimpin kerajaan negeri juga perlu melawat kawasan terbabit, berdialog dengan komuniti terlibat dan jika perlu, membayar ganti rugi yang sesuai.
“Ini boleh membantu membuang kekeruhan dan pandangan negatif masyarakat Orang Asli kepada pihak tertentu secara keseluruhan,” katanya menerusi catatan di Facebooknya hari ini.
Bekas naib presiden PAS itu yang menyertai Amanah pada Ogos lalu berkata, kerajaan negeri Kelantan dan agensi terbabit sepatutnya sedar tanggungjawab sosial mereka melebihi pertimbangan komersial.
Rabu lalu, seorang Orang Asli nyaris terputus kakinya ketika 160 Orang Asli sekitar Pos Simpor dan Jaringan Kampung Orang Asli Kelantan (JKOAK) cuba mempertahankan penghalang jalan daripada dirobohkan 30 lelaki bersama 3 anggota polis berseragam.
Setiausaha JKOAK, Mustafa Along, 29, bersama 2 Orang Asli, iaitu Manglo Tegau, 24, dan Salim Tegau, 31, turut ditahan kerana enggan bekerjasama, bagaimanapun 3 daripada mereka dibebaskan 40 minit kemudian.
Hari ini, Presiden Persatuan Pembalak Kelantan (PPK), P K Lim menafikan pihaknya menggondol Hutan Simpan Kekal (HSK) Balah di Gua Musang dan membuli penduduk Orang Asli di kawasan itu.
Beliau berkata, Kompleks Perkayuan Kelantan Sdn Bhd mendapat konsesi menjalankan aktiviti pembalakan di HSK itu secara sah dan mematuhi syarat ditetapkan.
Katanya, ketegangan yang timbul antara pembalak dan sekumpulan Orang Asli pada Rabu lalu disebabkan operasi bersepadu PPK, Jabatan Perhutanan Kelantan, polis dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
Pautan:
Cubaan halang pembalak, kaki Orang Asli nyaris terpotong gergaji
Kami tak buli Orang Asli Gua Musang, kata persatuan pembalak