Tak sokong IS tak bermakna anda ‘sederhana’, kata Nazir Razak

Tak sokong IS tak bermakna anda ‘sederhana’, kata Nazir Razak

Nazir berkata imej 'sederhana' yang cuba ditonjolkan sesetengah pihal adalah palsu.

Nazir Razak
KUALA LUMPUR: Datuk Seri Nazir Razak semalam mempersoalkan mereka yang menggelar diri mereka sebagai golongan sederhana tetapi masih tidak bertolak ansur dengan pihak yang mempunyai perbezaan pendapat.

Bercakap pada majlis pelancaran buku “Kesederhanaan” semalam, pengerusi Kumpulan CIMB yang juga adik kepada perdana menteri Datuk Seri Najib Razak itu berkata golongan ini berfikiran tertutup dan tidak mencerminkan apa yang didakwa.

“Kita perlu menjelaskan dengan mempunyai kawan dari pelbagai kumpulan etnik dan tidak menyokong IS, tidak semestinya menjadikan anda seorang yang sederhana.

“Sebenarnya, tingkah laku anda yang menentukannya,” katanya dipetik Bernama.

Nazir juga berpendapat Majlis Raja-Raja perlu menaungi Majlis Perundingan Negara (Mapen), entiti yang ditubuhkan di bawah pentadbiran ayahnya, Tun Abdul Razak pada 1970 selepas rusuhan kaum 1969.

Nazir pada tahun lalu pernah mencadangkan majlis yang sama ditubuhkan bagi menangani kemorosotan hubungan kaum akhir-akhir ini. Ia bagaimanapun disambut dingin beberapa pertubuhan sivil yang menganggap usaha perpaduan itu akan gagal sekiranya tidak ada semangat politik di pihak kerajaan.

Nazir semalam berkata majlis itu perlu ditubuhkan dengan sokongan daripada kerajaan, parti politik, masyarakat sivil, ahli akademik, pemimpin agama dan ahli perniagaan.

Menurutnya, perlu ada perbincangan isu sensitif termasuk soal pendidikan dan peranan agama.

Beliau berkata ini termasuk mempersoalkan sama ada sistem yang direka pada 1970 masih boleh berfungsi.

“Malah jurutera sistem berkenaan berpendapat kita memerlukan usaha baik pulih pada 1990. Dalam tambahan tempoh 26 tahun itu, seluruh dunia berubah dengan pesatnya,” katanya dipetik Bernama.

 

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.