
Ketua Penerangan Perkasa Hassan Basri Muhammad berkata hanya Majlis Raja-raja Melayu yang mendapat kepercayaan penuh umat Melayu dan Islam untuk menemukan semua pihak yang berlawanan.
“Masalah perpaduan dan perpecahan umat Islam hanya mampu ditangani oleh satu institusi utama negara yang ada autoriti besar, tambahan pula ia membabitkan hal Melayu dan Islam.
“Institusi yang dimaksudkan ialah Majlis Raja-raja Melayu,” kata Hassan dalam satu kenyataan hari ini.
Perkasa seterusnya mencadangkan penubuhan urusetia Majlis Ukhwah Islamiah Malaysia (MUIM) yang akan dianggotai semua parti politik dan badan bukan kerajaan Melayu Islam, serta agensi kerajaan.
Perkasa mencadangkan majlis itu dieletak di bawah Majlis Raja-raja Melayu, dan dipengerusi oleh Penyimpan Mohor Besar Raja-raja.
“Tugas utama mengenalpasti punca utama perpecahan dan kaedah menangani ke arah perpaduan dan sepastinya Perkasa meyakini penubuhan ini tidak terikat dengan agenda tertentu,” tambah Hassan.
Perkasa merujuk kepada kewujudkan parti politik berasaskan Melayu dan Islam dan badan bukan kerajaan berkaitan, perpecahan antara mazhab dan pelbagai aliran fahaman agama.
“Ditambah lagi perpecahan dengan wujudkan fahaman sesat seperti fahaman liberalisme, hak persamaan gender, kebebasan sex dan pelbagainya.”
Pendirian Perkasa ini menjawab kenyataan Pengerusi Majlis Dakwah Negara (MDN) Datuk Mahmood Zuhdi Abd Majid hari ini yang mencadangkan Yayasan Dakwah Malaysia (Yadim) supaya mendapatkan semula sokongan parti politik seperti Umno dan PAS selaras agenda penyatuan ummah.
Mengiktiraf hasrat itu, Perkasa bagaimanapun menolak cadangan Mahmood sebagai sempit.
“Apakah beliau melihat dan beranggapan dan memandang mudah kepada parti Islam lain dan juga badan bukan kerajaan yang keahliannya ratusan ribu?
“Apakah parti dan badan NGO tidak berperanan dan tidak perlu diajak berbincang duduk semeja?
“Perkasa turut bimbang barangkali beliau juga ada agenda tertentu,” tegas Hassan.
Sekali lagi Perkasa berkata penyatuan tidak mungkin berjaya sekiranya ia tidak diletakkan di bawah Majlis Raja-raja Melayu, sebaliknya diurus sama ada oleh parti politik atau agensi kerajaan.
“Para pemuka, pemikir, cendiakawan dan ilmuan boleh berbincang dan terus berbincang dan akhirnya mengusulkan pelbagai usul.
“Tubuhlah apa nama pun seperti Akademi Pembangunan Ummah atau Dewan Ilmiah yang akhirnya dibimbangi hanya tinggal nama dan perpecahan terus bercambah yang merugikan umat Islam khususnya,” kata Hassan.