
Beliau menyelar sikap Exco yang menurutnya tidak peduli apabila penduduk menghadapi masalah air.
“Perkara ini bukan sekali berlaku, sudah banyak kali. Berapa kali (loji Semenyih) sudah ditutup sebab pencemaran,” katanya ditemui FMT.
“Saya mengetahui Exco dan kerajaan negeri tentunya sudah mengetahui awal mengenai isu ini. Jika lebih 3,000 pengguna yang terjejas (disebabkan tidak dapat bekalan air) itu dianggap sikit, mereka perlu turun. Ini tidak.
“Sepatutnya mereka bertindak, turun ke kawasan terlibat, jumpa penduduk,” katanya.
Empat daerah negeri iaitu Hulu Langat, Kuala Langat, Sepang dan Petaling mengalami masalah bekalan air sejak Jumaat lalu disebabkan pencemaran di Loji Rawatan air Semenyih.
Bagaimanapun Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air Datuk Seri Maximus Ongkili berkata pihak berkuasa masih menyiasat sumber pencemaran itu, disyaki berpunca daripada sektor perindustrian berhampiran.
Johan berkata kerjaaan negeri perlu bertindak pantas dan menggunakan kuasa yang ada bagi melindungi kawasan loji di Semenyih itu.
“Tutup sahaja kilang yang didapati bersalah dan beri hukuman. Satu hari sahaja boleh dapat.”
Sementara itu, penduduk Pangsapuri Baiduri Bandar Tasik Kesuma Fasa 6 meminta masalah bekalan air di kawasan mereka diselesaikan segera.
Pengerusi badan pengurusan bersama (JMB) pangsapuri berkenaan, Mustaffa Othman berkata penduduk bimbang dengan masalah itu dan berkata tahun ini sahaja sudah 3 kali menghadapi masalah bekalan air.
“Masalah air ini sudah berlaku sejak 2011 lagi. Dalam setahun, kami akan menghadapi masalah air dalam 2 atau 3 kali. Alasan sama digunakan iaitu air tidak cukup, dan ada pencemaran berlaku (Loji Semenyih).
“Sampai bila masalah air ini akan berlaku. Air amat penting kepada kami. Penduduk sememangnya terkesan dan menganggu aktiviti harian penduduk,” katanya ketika ditemui FMT.
Pengerusi Rukun Tetangga pangsapuri berkenaan, Razlin Sakbar mendakwa apabila masalah air berlaku, jarang exco atau Adun daripada Pakatan Harapan (PH) turun membantu.
“Jarang nampak mereka turun padang bantu selesaikan masalah kami. Datang pun jika ada program,” katanya.