
Maka atas sebab itu, Ketuanya Datuk Jamal Yunos terpanggil untuk menentang tunjuk perasaan Bersih 5 di peringkat awal.
“Melalui sumber yang boleh dipercayai, mereka ini telah diresapi kumpulan IS dan Daesh,” kata Jamal, yang juga Ketua Umno Bahagian Sungai Besar di perkarangan Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) hari ini.
Jamal berkata demikian di sidang media mengumumkan kempen Merah V2, yang akan mengembleng ahli mereka untuk turun ke enam lokasi utama konvoi jelajah negeri Bersih yang akan diadakan mulai 1 Oktober depan, menuju acara kemuncak di ibu negara iaitu himpunan Bersih 5 pada 19 November.
Menurut Jamal, Bersih akan menggunakan taktik luar biasa seperti menawan lapangan terbang.
“Melalui sumber yang boleh dipercayai, mereka ini akhirnya…tujuannya untuk menggulingkan kerajaan dengan menawan beberapa kawasan strategik seperti KLIA (Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur), klia2, Putrajaya dan lain-lain tempat.”
Tambahnya lagi, Bersih turut mendapat khidmat nasihat perunding luar.
“Kami juga difahamkan mereka ini telah mengambil perunding daripada Thailand dan juga Taiwan untuk menjadikan Bersih yang akan mereka lakukan ini berjaya untuk menggulingkan kerajaan sebelum pilihan raya akan datang.”
Semalam, Bersih 2.0 mengumumkan konvoi mereka akan meliputi 246 bandar, pekan dan kampung di Semenanjung Malaysia, Sabah dan Sarawak.
Di Semenanjung, konvoi akan berlepas dari Johor Bahru (selatan). Kangar (utara), Kota Bharu (Timur) dan Lumut (Barat).
Di Sarawak, konvoi akan berlepas dari Miri manakala di Sabah dari Letat, Sandakan.
Konvoi itu diadakan bagi menarik sokongan orang ramai dan memberi penerangan berhubung tuntutan Bersih 5 iaitu reformasi institusi dan mendesak penyingkiran Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.
Menurut Jamal, Merah V2 akan menyaksikan penyertaan pelbagai kaum dari Semenanjung, Sabah dan Sarawak.
Mereka juga akan mengadakan tunjuk perasaan di Pulau Pinang menyentuh dakwaan rasuah dan salah guna kuasa Ketua Menteri Lim Guan Eng.