Tindakan AAM jual bangunan di Shah Alam dipersoalkan

Tindakan AAM jual bangunan di Shah Alam dipersoalkan

AAM dilaporkan sudah menerima 10% daripada harga jualan RM7.5 juta pada Mei lalu.

Wan-Zaharuddin-Wan-Ahmad
PETALING JAYA: Persatuan Automobil Malaysia (AAM) yang berdepan krisis hutang RM6 juta, dilaporkan sudah menjual bangunan ibu pejabatnya di Shah Alam, namun tindakan itu menimbulkan beberapa tanda tanya.

Menurut beberapa dokumen yang dilihat The Sun, AAM sudah menerima 10% daripada harga jualan RM7.5 juta, pada Mei lalu, sebelum mesyuarat agung khas (SGM) dipanggil untuk mendapatkan kelulusan ahli.

Akhbar itu melaporkan Timbalan Pengerusinya, Wan Zaharuddin Wan Ahmad sudah mengemukakan tawaran menjual bangunan itu kepada WWRC Holdings Sdn Bhd, sebuah syarikat larutan kimia yang mempunyai pengarah warga Singapura dan Taiwan.

Bagaimanapun, ahli AAM mempersoalkan keperluan melantik ejen pemasaran, 6 hari selepas jualan dan surat tawaran dikeluarkan.

Ada pula yang mendakwa bangunan itu dijual di bawah harga pasaran kerana dalam beberapa dokumen AAM, harga untuk 10 unit kedai bertentangan Kelab Golf Sultan Abdul Aziz Shah sepatutnya lebih tinggi.

Raine & Horne International Zaki & Partners Sdn Bhd meletakkan harga RM8.6 juta, manakala Rahim & Co International meletakkan nilai RM7.7 juta.

Semalam, pekerja AAM mengadu belum menerima tunggakan gaji, walaupun selepas 2 kali tarikh pembayaran itu ditunda, iaitu pada 15 September dan 23 September.

Kakitangan AAM, Mohamad Tajuddin Jailani berkata, pihak pengurusan syarikat memaklumkan bayaran gaji ditangguhkan sekali lagi sehingga 30 September ini, tanpa memberi alasan munasabah.

Pekerja juga mendakwa Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dalam proses menyaman AAM kerana hampir setahun tidak membuat bayaran caruman untuk pekerjanya, selain 16 pusat panggilan bantuan pelanggan dikatakan tidak beroperasi kerana pekerja tidak lagi bertugas.

AAM yang ditubuhkan pada 1932 mengenakan bayaran RM75 hingga RM125 setiap tahun untuk perkhidmatan automobil, termasuk kerosakan kecemasan 24 jam dan bantuan di tepi jalan.

Menurut laporan The Sun, keahlian AAM yang pernah mencecah 400,000 orang pada zaman kegemilangannya kini tinggal 36,000 ahli dan mereka ingin tahu ke mana hilangnya wang itu.

Pada 2011, AAM menjual pejabatnya di Megan Avenue, Kuala Lumpur pada harga RM8.54 juta dan laporan tahunannya mencatatkan pendapatan RM4.3 juta sebagai “perolehan daripada jualan aset”.

Bagaimanapun, akaun sama menunjukkan kira-kira RM4 juta dibayar untuk melangsaikan pinjaman berjangka sebanyak RM5 juta daripada sebuah bank komersial.

Laporan tahunan AAM juga menunjukkan deposit tetapnya berkurangan secara beransur-ansur daripada RM8.1 juta pada 2011 kepada RM7.66 juta pada 2012, sebelum menjunam kepada RM4.26 juta pada 2013 serta rekod untuk 2014 dan seterusnya tidak disediakan.

The Sun memetik orang dalam sebagai berkata, kos pengubahsuaian mahal, gaji tinggi, pelancongan kelas pertama dan elauan besar dibayar kepada pegawai adalah punca AAM dilanda krisis kewangan.

“Seorang pengurus unit AAM dibayar gaji RM30,000, lebih banyak daripada syarikat lain,” kata seorang bekas pekerja AAM.

Sementara itu, The Sun yang gagal menghubungi Pengerusi AAM, Datuk Tunku Mudzaffar Tunku Mustapha dan Wan Zaharuddin, minggu lalu, dihubungi peguam persatuan itu.

“Pertanyaan anda tidak semuanya berkaitan undang-undang. Saya boleh respons terhadap aspek undang-undang, tetapi (beberapa) soalan tidak berada dalam bidang kuasa saya dan saya perlu mendapatkan arahan berhubung perkara itu.

“Saya hanya boleh katakan saya akan berusaha mendapatkan AAM untuk memberi respons secepat mungkin, tetapi tidak mahu memberi sebarang janji yang saya tidak boleh penuhi,” kata seorang rakan kongsi dalam firma guaman itu yang mewakili AAM.

Pautan:

Sekali lagi, pekerja AAM ‘ditipu’, gaji masih tak dapat

AAM: Selain tunggakan gaji pekerja, pelanggan juga tuntut yuran keahlian

Selepas protes, staf AAM persoal hanya terima gaji sebulan

tags: bahasa, AAM, gaji, KWSP, jual bangunan, hutang

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.