
Kempen itu dilancarkan ekoran serangan bom di Manhattan yang dipersalahkan ke atas orang Afghanistan-Amerika yang radikal, pada mulanya menggunakan sosial media untuk menyebarkan mesej melalui #IAmMuslimNYC.
“Sekarang, ia penting untuk setiap penduduk New York bersatu sebagai sebuah bandar dan menolak kebencian serta keganasan,” kata Datuk Bandar Bill de Blasio dalam satu kenyataan.
“Kami tidak akan bertolak ansur dengan diskriminasi atau keganasan dalam apa jua bentuk dan kami tidak akan berhenti sehingga semua penduduk New York, termasuk saudara Islam kita, mendapat layanan bermaruah yang sepatutnya.”
Kempen itu bermula hari ini, 10 hari selepas suspek, Ahmad Khan Rahami meletupkan satu peranti di Chelsea, kawasan kejiranan di Manhattan yang mencederakan 29 orang.
Penyiasat berkata, selepas Rahami ditahan, satu buku panduan bertulisan tangan ditemui, yang memuji pemimpin al-Qaeda, termasuk Osama Laden serta mengkritik perang Amerika Syarikat di Iraq, Afghanistan dan Syria.
Kempen itu diadakan ketika umat Islam di negara berkenaan semakin bimbang, ekoran tindak balas terhadap serangan pengganas di AS dan negara lain, dalam konteks retorik anti-Islam yang disebarkan calon presiden Republikan, Donald Trump.
Antara keganasan terhadap umat Islam di New York ialah kejadian seorang imam dan pembantunya ditembak mati ala hukuman, berhampiran sebuah masjid di daerah Queens, bulan lalu.
New York bercadang mengadakan beberapa bengkel kepada pekerja dan majikan dari sektor awam serta swasta, mulai bulan depan, supaya mereka lebih memahami Islam.
Sebuah kempen pemasaran menggunakan semua media dalam perancangan untuk pertengahan 2017, sebaik sahaja kempen pemilihan semula de Blasio berjalan sepenuhnya.
Sejak kempen pertamanya pada 2013, datuk bandar New York itu mula menggunakan pendekatan berbilang kaum dan menyeluruh.
Sebelum dipilih, de Blasio berjanji memberi 2 hari cuti kepada umat Islam, sejajar cuti yang dinikmati orang Yahudi dan Kristian. Janji itu dikotakan sejak permulaan tahun persekolahan 2015.