
Ringgit turun 1.7% bulan lalu, tetapi masih tinggi melebihi 4% sejak awal tahun ini, berbanding tahun lepas apabila dianggap matawang Asia berprestasi paling buruk.
Berucap di wacana ekonomi di Kuala Lumpur semalam, Gabenor BNM Datuk Muhammad Ibrahim memberi kenyataan terbuka mengenai ringgit sejak ketidaktentuan baru-baru ini. Teks kenyataannya diterbitkan pada Selasa.
“Walaupun mengalami ketidaktentuan melampau sejak beberapa tahun ini, pemikiran kami kekal tidak berubah – kuasa pasaran harus menentukan halatuju dan paras kadar tukaran,” kata gabenor itu, yang dilantik pada Mei.
“Peranan bank pusat hanya untuk membendung ketidaktentuan, yang kami tahu mempunyai implikasi besar ke atas ekonomi terbuka seperti kita,” katanya.
Faktor yang mempengaruhi ringgit termasuk pasaran eksport yang lemah, harga rendah untuk pasaran minyak, gas dan komoditi Malaysia, serta kebimbangan ke atas skandal politik dan kewangan berbilion dollar melibatkan syarikat milik kerajaan 1Malaysia Development Berhad (1MDB).
“Dalam jangka masa pendek, pergerakan kadar tukaran mungkin akan bertindak balas terhadap sentimen pasaran dan tajuk utama akhbar, dan bukan mencerminkan kekuatan ekonomi tersirat,” kata Muhammad.
Beliau menambah ada salah tanggapan mengenai kebergantungan Malaysia kepada komoditi, yang beliau kata mewakili 19% eksport, manakala industri minyak dan gas mewakili 22% hasil kerajaan.
Gabenor berkata penting untuk memastikan ketersediaan simpanan yang lebih daripada cukup, mengekalkan asas ekonomi yang kuat dan mengurus pendedahan kepada hutang luaran.