Sistem amaran kanak-kanak hilang diaktifkan 24 kali sejak 2011

Sistem amaran kanak-kanak hilang diaktifkan 24 kali sejak 2011

Polis perlu mendapatkan kebenaran keluarga sebelum mengaktifkan NUR Alert, yang mungkin menolak kerana perasaan malu

National Urgent Response Alert
KUALA LUMPUR: Polis menggunakan sistem amaran awal kehilangan kanak-kanak atau National Urgent Response Alert (NUR Alert) sebanyak 24 kali dengan 19 orang hilang berjaya ditemui, sejak mengambil alih sistem itu pada 12 Januari 2011.

Dilancarkan Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat pada 2007, NUR Alert merupakan teknologi hebahan bagi membantu polis serta agensi kerajaan dan bukan kerajaan mengesan kehilangan kanak-kanak di bawah usia 12 tahun.

“Sejak 12 Januari 2011 hingga 20 September 2016, sebanyak 24 hebahan NUR Alert melibatkan 25 mangsa. Seramai 19 mangsa telah dijumpai manakala 6 lagi masih belum ditemui,” kata Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) yang menyelia sistem itu.

FMT menghubungi polis mengenai keberkesanan NUR Alert selepas pihak berkuasa dikritik kerana jarang menggunakan sistem amaran awal itu.

Memetik Star Online 4 September lalu, Pengerusi Persatuan Kebajikan Suriana James Nayagam berpendapat polis patut mengaktifkan NUR Alert sebaik sahaja menerima laporan kanak-kanak hilang.

Buat masa ini, NUR Alert hanya akan diaktifkan sebaik polis memastikan ia tidak melibatkan tebusan, ugutan atau ancaman bunuh, selain mendapat kebenaran keluarga.

JSJ berkata, polis sentiasa berusaha menambahbaik mekanisme sistem itu, namun menekankan kebenaran ibubapa sebagai perkara utama.

“Ia bergantung kepada ibubapa sendiri untuk memberikan kata putus. Ini amat penting agar tiada perkara berbangkit di kemudian hari.”

Menurut JSJ, sesetengah ibubapa tidak memberi kebenaran kerana bimbang keselamatan mangsa, tidak mahu ia dihebohkan selain kepada polis serta malu.

“Namun polis sentiasa memberikan nasihat terbaik (kepada ibubapa) bagi menyelesaikan kes tersebut.”

Star Online melaporkan sejumlah 82 kanak-kanak bawah 12 tahun dilaporkan hilang antara Januari hingga Julai tahun ini, berbanding 55 kes bagi keseluruhan tahun lalu.

Pada 18 Ogos lalu pula, negara digemparkan dengan penemuan mayat Noor Amila Edrus Norsham, 5 tahun, di kawasan semak di Kampung Kemensah, Hulu Kelang dengan keadaan kepala terpisah daripada badan, selepas dilaporkan hilang seminggu sebelumnya.

Pada 2 Julai lalu, Ketua Penolong Pengarah Bahagian Siasatan Seksual, Wanita dan Kanak-Kanak JSJ ACP Ong Chin Lan berkata polis mahu bekerjasama dengan Facebook bagi tujuan penyebaran maklumat kanak-kanak hilang.

Ia dijangka bermula September ini. Portal statistik Statista.com melaporkan pengguna Facebook di Malaysia berjumlah 10.92 juta pada 2016.

Menurut JSJ kerjasama tersebut setakat ini masih dalam peringkat perbincangan.

Untuk mendapat hebahan daripada NUR Alert, boleh mendaftar melalui Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) di sini.

 

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.