Kematian Haron Din tidak ubah hala tuju PAS

Kematian Haron Din tidak ubah hala tuju PAS

Penganalisis politik berkata hala tuju PAS kini dipengaruhi agamawan muda yang terdapat dalam kepimpinan parti, seperti Nik Abduh dan Nasrudin Hassan.

Dr Maszlee Malik
KUALA LUMPUR: Kematian bekas mursyidul am PAS Datuk Dr Haron Din tidak akan membawa perubahan besar kepada hala tuju parti itu, kata penganalisis politik Dr Maszlee Malik.

Beliau berkata selain Presiden Datuk Seri Abdul Hadi Awang, hala tuju PAS kini juga dipengaruhi agamawan muda yang terdapat dalam kepimpinan parti.

“Agamawan muda ialah mereka yang berusia bawah 50 tahun, seperti Ketua Pemuda Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz dan Ketua Penerangan Nasrudin Hassan dan yang sebaya dengan mereka,” katanya ketika dihubungi.

Sehubungan itu, katanya walaupun jawatan mursyidul am – antara kedudukan tertinggi dalam PAS – dipegang pemimpin baharu, ia tidak akan mengubah pendekatan semasa parti itu.

Sepanjang menjadi mursyidul am, bekas menteri besar Kelantan Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat adalah antara tokoh yang kuat mempertahankan kerjasama PAS dengan DAP dan PKR dalam Pakatan Rakyat.

Selepas jawatan itu diambil alih Haron, PAS keluar daripada kerjasama pembangkang dan dilihat semakin terbuka dengan Umno.

Malah, Haron dilihat antara tokoh yang memainkan peranan mendekatkan 2 ‘musuh ketat’ itu.

Maszlee yang juga pensyarah Universiti Islam Antarabangsa berkata pengaruh golongan agamawan muda PAS dikuatkan lagi dengan kepimpinan peringkat pertengahan yang memiliki pemikiran sama.

“Mereka giat berceramah di masjid dan tempat yang didominasi ahli PAS. Pandangan umum akar umbi lebih dicorakkan ustaz berbanding kepimpinan lapisan pertengahan ini,” katanya.

Haron meninggal dunia pada 16 September lalu di Hospital Universiti Stanford, San Fransisco, Amerika Syarikat, ketika menjalani rawatan jantung.

Pada masa ini, jawatan mursyidul am dipangku timbalannya yang juga Menteri Besar Kelantan Datuk Ahmad Yakob, walaupun beliau menyuarakan hasrat tidak ingin terus menjawatnya.

Pautan

Ahmad tolak jawatan bukan perkara baru, Nik Aziz, Haron Din juga pernah tolak

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.