
Malah tanpa asas idealogi yang kukuh, ramai yang akan melihat parti itu sama seperti PAS. Apatah lagi ia adalah serpihan daripada parti Islam itu.
Itulah kritikan utama ahli panel dalam forum ‘Setahun Amanah: Subur atau Terkubur’ di Dewan Perhimpunan Cina Kuala Lumpur – Selangor, di sini semalam.
“Amanah kena ada ideologi yang jelas, selain pemimpin berkarisma.
“Apakah Islam yang ingin dibawa Amanah, di tengah-tengah Islam gaya PAS, Isma (Ikatan Muslimin Malaysia) dan Perkasa yang terlalu mendominasi,” kata penulis Fathi Aris Omar.
Beliau berkata, Amanah memulakan langkah yang betul dengan membawa wacana ‘maqasid syariah’ namun berhadapan cabaran apabila majoriti masyarakat tidak melihat politik sebagai ‘persaingan idea’.
Amanah ditubuhkan pada 16 September 2015 oleh sekumpulan bekas pemimpin PAS – digelar golongan profesional – yang tewas kepada muktamar pemilihan tahun sama.
Di saat PAS semakin cenderung ke arah pembawaan Islam yang konservatif, Amanah dilihat lebih cenderung kepada idea ‘demokrat Muslim’ bawaan gerakan Islam Ennahda di Tunisia, yang dipimpin Rashid Ghannouchi.
Ketua Pegawai Eksekutif Kajian Politik untuk Perubahan (KPRU) Ooi Heng berkata pengukuhan ideologi merupakan proses biasa yang perlu dilalui parti baru.
“PAS dan Umno ketika fasa pertama juga berdasarkan idealisme,” katanya.
Beliau menjadikan Parti Sosialis Malaysia (PSM) – yang berdaftar secara rasmi pada 2008 – sebagai contoh parti yang lebih menekankan soal idealisme dan perjuangan, berbanding perseteruan politik.
Beliau juga membangkitkan rekod buruk Amanah dalam pilihan raya yang disertainya sepanjang setahun penubuhan.
Dalam Pilihan Raya Negeri Sarawak Mei lalu, 9 daripada 13 calon Amanah hilang wang deposit, selain kalah di semua Dewan Undangan Negeri (DUN) yang ditandingi.
Parti itu juga kalah dalam Pilihan Raya Kecil Kuala Kangsar dan Sungai Besar, walaupun tidak dapat dinafikan, pertembungan tiga penjuru juga menyumbang kepada kemenangan Barisan Nasional.
Penganalisis Wan Ahmad Fayhsal mengajukan agar Amanah mencontohi Green Party, sebuah parti politik yang terdapat di beberapa buah negara yang menjadikan alam sekitar sebagai antara fokus utama.
Katanya, pendekatan itu akan mampu membawa Amanah keluar daripada bayang-bayang DAP dan membezakannya dengan PAS.
“Amanah kata membawa prinsip maqasid syariah. Maka teruskan membawa perkara itu, misalnya pemimpin parti boleh mengkritik belanjawan negara daripada perspektif itu.
“Masyarakat akan lihat anda berbeza dengan PAS, yang setakat ini tidak mampu berbuat demikian. Tidak perlu habiskan masa bergaduh dengan PAS, mereka ada khalayak sendiri,” katanya lagi.