
Pengasas SIS, Zainah Anwar, ketika berucap pada program Syarahan Memperingati Raja Aziz Addruse semalam, menyangkal pendirian pejuang hak asasi termasuk aktivis wanita yang mempertikaikan pendekatan SIS menggunakan perspektif Islam kerana dianggap sia-sia.
“Ketika saya mula-mula bercakap tentang mencari keadilan dan hak saksama dalam Islam 25 tahun lalu, respon lazim adalah ‘mengapa perlu ambil kisah?’
“Feminis Islam berkata ia membazir masa kerana Islam, malah semua agama secara semula jadi tidak adil… Golongan sekular pula menganggap ia bahaya kerana saya mengabsahkan kedudukan agama dalam ruang awam,” katanya dalam syarahan bertajuk “Pencarian persamaan: Mendamaikan Islam dan Hak Asasi” itu.
Zainah menyifatkan pendirian demikian hanya menguatkan dominasi golongan konservatif dalam soal agama.
Dalam konteks Malaysia di mana Islam mempunyai peranan besar dalam undang-undang dan dasar awam, ia adalah sesuatu yang malang, tambahnya.
“Kenapa saya perlu memilih untuk menjadi Islam atau feminis, pejuang hak asasi? Jika anda peguam, mengapa perlu memilih antara menjadi Islam atau peguam yang percaya kepada keadilan dan hak saksama? Saya yakin ia adalah sempadan palsu,” katanya lagi.
Justeru, katanya, SIS ditubuhkan kira-kira 30 tahun bertujuan meletakkan kembali suara wanita dalam pemahaman agama di ruang awam.
Menurutnya, kajian mereka kemudian mendapati banyak ayat Al-Quran yang memperjuangkan kesamaan spiritual dan moral yang mutlak antara lelaki dan wanita.
Sepanjang penubuhannya, SIS banyak mengadakan program bagi meningkatkan kesedaran hak asasi di kalangan wanita di Malaysia, selain lantang menyuarakan apa yang dilihat sebagai ketidakadilan kepada wanita dalam proses perbicaraan di Mahkamah Syariah.
Pertubuhan itu tidak sunyi daripada kecaman pihak berkuasa agama.
Pada 2014, buku terbitannya “Muslim Women and the Challenge of Islamic Extremism” diharamkan dan difatwa sebagai sesat oleh Majlis Agama Islam Selangor.
Pada 2007, SIS menubuhkan Musawah, atau Gerakan Global untuk Keadilan dan Kesamaan dalam keluarga Islam, yang antaranya bertujuan mengembalikan penekanan Islam sebagai sumber pemberdayaan dan membawa dialog perhubungan antara Islam dan hak asasi manusia.
Zainah berkata, golongan wanita merupakan barisan hadapan dalam mengubah pemahaman dan amalan agama dalam di dunia Islam, memandangkan merekalah yang menjadi mangsa atas nama agama.
“Bagi kalangan kami yang memutuskan untuk memperjuangkan hak dengan perspektif agama, ia daripada keyakinan teguh terhadap Tuhan dan Islam yang adil. Apakah yang lebih Islamik berbanding artikel pertama Deklarasi Hak Asasi Manusia PBB yang menyatakan ‘semua manusia dilahirkan bebas dan memiliki hak dan maruah yang sama?
“Isunya bukan tidak boleh berlaku perubahan dan tiada keadilan dan hak saksama terhadap wanita dalam Islam; tetapi sama ada kerajaan dan pihak berkuasa agama memiliki tekad politik untuk menamatkan diskriminasi terhadap wanita. Hujah pembaharuan sudah ada – dalam Islam dan juga Perlembagaan dan prinsip hak asasi,” katanya.