Pinjaman pemaju: Kadar faedah 6% masih bebankan pembeli

Pinjaman pemaju: Kadar faedah 6% masih bebankan pembeli

Persatuan Kebangsaan Pembeli Rumah Malaysia persoal mengapa menteri beria membenarkan pemaju memberi pinjaman

Chang-Kim-Loong_-noh-omar_600
PETALING JAYA:
Kadar faedah 6% untuk pinjaman yang ditawarkan pemaju masih membebankan pembeli rumah.

Persatuan Kebangsaan Pembeli Rumah Malaysia (HBA) berkata kadar berkesan untuk kadar tetap pinjaman sebanyak 6% selama 10 tahun adalah 10.21%.

“Ia dua kali lebih tinggi daripada kadar faedah berkesan untuk pinjaman rumah, yang sekitar 4.6%-5%,” kata Setiausaha Agung Chang Kim Loong.

Kim Loong mengulas Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan Tan Sri Noh Omar semalam yang berkata kerajaan mungkin menghadkan kadar faedah untuk pinjaman daripada pemaju perumahan pada paras 6%.

Beliau memberitahu FMT pembayaran semula tergabung pinjaman pemaju dan gadai janji akan lebih tinggi sekiranya peminjam mendapat margin pembiayaan 90% daripada bank.

Perkara itu, kata Kim Loong, memberi tekanan kewangan kepada peminjam, yang boleh membawa kepada kemungkinan peminjam gagal melangsaikan pinjaman pemaju atau gadai janji.

Sekiranya itu berlaku, pembeli rumah akan berdepan perampasan hartanah, writ penyitaan harta peribadi dan harta bergerak, muflis, atau keduanya.

Beliau mengingatkan ketika bank akan menggunakan hartanah sebagai cagaran semasa memberi pinjaman, manakala peminjam wang akan meminta peminjam supaya menandatangani perjanjian pinjaman tidak bercagar dengan surat jaminan daripada pihak ketiga.

Kim Loong menyoal mengapa menteri dan para pegawainya sangat prihatin akan ketidakmampuan pemaju menjual hartanah hingga terpaksa menggunakan langkah yang tidak difikir semasaknya, seperti pinjaman pemaju itu.

“Ia akan menyusahkan pembeli, bukan membantu mereka.

“Mengapa benarkan pembeli perhambakan diri untuk bank dan peminjam wang?”

Semalam, Noh berkata kementerian masih mendapatkan maklum balas mengenai kadar pinjaman rumah munasabah, tetapi percaya pemaju perlu mengenakan kadar faedah sehingga 6% sahaja.

Mengikut Akta Pemberi Pinjam Wang 1951, peminjam boleh mengenakan kadar faedah maksimum 18% tanpa cagaran atau 12% dengan cagaran, katanya.

Bagaimanapun, kadar faedah untuk pinjaman pemaju itu akan ditetapkan oleh beliau selaku menteri.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.