Agamawan bukan nabi: PAS, Isma bidas Zaid Ibrahim

Agamawan bukan nabi: PAS, Isma bidas Zaid Ibrahim

Sebagai peguam Zaid seharusnya faham bahawa manusia tidak boleh dihina sesuka hati apatah lagi golongan agamawan.

Datuk Khairuddin Aman Razali
PETALING JAYA: Kenyataan Datuk Zaid Ibrahim yang menganggap agamawan tidak kebal daripada kritikan dan penghinaan menerima bantahan PAS dan Ikatan Muslimin Malaysia (Isma), selepas bekas menteri itu mempersoalkan tindakan polis terhadap mereka yang dituduh menghina Islam.

Presiden Isma Abdullah Zaik Abdul Rahman berkata Zaid sepatutnya faham manusia, termasuk agamawan, tidak boleh dihina sesuka hati.

“Orang liberal biasanya berpegang pada hak asasi manusia, tapi dalam hal ini nampak macam dia tak faham pula. Orang biasa pun tak boleh dihina, apalah lagi seseorang yang dihormati,” kata Abdullah kepada FMT.

Zaid hari ini mempersoalkan penangkapan beberapa individu termasuk bekas wartawan Sidek Kamiso yang dituduh menghina Islam, kerana mengkritik atau menghina ahli politik dan agamawan tidak sama dengan menghina Nabi Muhammad.

Sidek antara mereka yang ditangkap kerana kiriman Twitter menyentuh kematian bekas Mursyidul Am PAS Datuk Dr Haron Din baru-baru ini.

“Dalam kes Haron Din, yang menjadi isu bukan kerana hina batang tubuh beliau walaupun ia tidak wajar, tetapi menghina beliau kerana agamanya atau kerana amalan baik yang beliau lakukan,” jelas Abdullah.

“Dia (Zaid) peguam tapi tak nampak kepintarannya,” tambahnya.

Sementara itu, Ketua Penerangan Dewan Ulama PAS Datuk Khairuddin Aman Razali berkata tidak ada agama atau budaya yang membenarkan penghinaan.

“Tidak ada agama dan budaya bangsa yang memberi lesen untuk menghina manusia apatah lagi yang telah mati.

“Mengkritik pula hak sesiapa sahaja sekiranya bahasa yang beradab dan berakhlak, bukannya dengan emosi dan hinaan.

“Kritikan kepada orang yang soleh dan berilmu mestilah dengan ilmu juga dan lebih beradab berbanding kritikan kepada orang biasa yang kurang berilmu,” kata Khairuddin

Pautan:

Hina Islam? Orang agama bukan nabi, kata Zaid

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.