Pembantu Rosmah berkias isu anugerah ditarik semula

Pembantu Rosmah berkias isu anugerah ditarik semula

Rosmah dipercayai tidak memberikan sebarang maklum balas mengenai majlis itu, namun pihak tertentu dikatakan memutar belit dengan menyatakan anugerah tersebut ditarik semula.

Rizal-Mansor_permata_600
PETALING JAYA:
Pegawai khas isteri perdana menteri, Datin Seri Rosmah Mansor secara kiasan mengulas isu penarikan anugerah “Lead by Example”.

Tanpa menamakan mana-mana pihak, Datuk Rizal Mansor dalam muat naik terbaru statusnya menjelaskan situasi sebenar penarikan anugerah oleh penganjurnya pada saat terakhir.

“Awak masuk meminang dia.. Dia tak bagi jawapan lagi.. Tiba-tiba sepupu awak buat statement kata awak nak putus tunang..,” katanya di status Facebook.

Menyimpul status berkenaan, Rosmah dipercayai tidak memberikan sebarang maklum balas mengenai majlis itu, namun pihak tertentu dikatakan memutar belit dengan menyatakan anugerah tersebut ditarik semula.

Dalam satu lagi status yang baru dinaikkan, beliau menyindir mengibaratkan pemikiran ‘mat salleh’ (Amerika) sebagai kuno kerana masih mengamalkan fitnah dan budaya menghasut.

Tulisnya, “Pak cik ingatkan budaya mencucuk dan menghasut ada pada orang kita je.. Rupanya omputih (orang putih) Amerika lagi teruk mencucuk … Memfitnah lagi tu.. Yang mendengar plak tak reti nak bertanya betulke apa yg mereka kata tu.. Pak Cik cuma boleh kata Mat Salleh ni tak maju lagi rupanya.. Masih kuno pemikiran mereka..”

Semalam, New York Times melaporkan anugerah yang sepatutnya diterima Rosmah anjuran pertubuhan Antiquities Coalition Unesco dibatalkan pada saat akhir.

Tudor Parfitt, ahli akademik yang terlibat dalam acara yang akan diadakan di Muzium Seni Metropolitan, New York dalam satu kenyataan mendedahkan keputusan itu diambil susulan persoalan terhadap dana yang diperolehi Permata.

Walaupun penganjur tidak mengesan sebarang salah laku secara khusus tetapi mereka kesempitan masa untuk membuat semakan terhadap organisasi itu, jelasnya.

Tambah laporan itu, pihaknya perlu cermat kerana penganjur bersama acara itu ialah ketua Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (Unesco) Irina Bokova, yang kini sedang berusaha mengambil alih jawatan setiausaha agung Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB).

Majlis anugerah yang diadakan pada 22 September memberi penghormatan kepada tokoh dan organisasi yang melawan ekstremisme.

Sebelum ini, Bernama memetik kenyataan Ketua Setiausaha Kementerian Pendidikan yang juga Naib Presiden Suruhanjaya Kebangsaan Unesco Malaysia, Datuk Seri Alias Ahmad, mengumumkan anugerah yang akan diterima Datin Seri Rosmah Mansor selaku penaung Permata. Beliau turut menyifatkan ia satu penghormatan kepada Malaysia.

Unesco bagaimanapun berkata pihaknya tidak terlibat dalam majlis itu yang diadakan sempena Persidangan Agung PBB ke-71 di New York.

Pautan:

Anugerah AS untuk program Permata dibatal

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.