
Penerbangan itu akhirnya mendarat selepas lebih 3 jam daripada masa ketibaan yang dijadualkan, meninggalkan 2 penumpang yang enggan meneruskan penerbangan kerana ketakutan ekoran situasi yang mereka hadapi sebelum itu.
Penerbangan MAS MH1286 pada asalnya dijadual berlepas dari KLIA pada 22:05 tetapi tertunda 33 minit, untuk penerbangan 45 minit.
Bagaimanapun, hujan lebat dan angin kencang menyebabkan angin bergelora teruk dan kru penerbangan memutusakan untuk tidak mendarat sebaliknya pesawat dibawa berpatah balik ke KLIA.
“Ketika itu hujan lebat dan angin kencang. Angin bergelora dengan sangat kuat menyebabkan beberapa penumpang menjerit ketakutan,” kata seorang penumpang remaja dalam penerbangan itu ketika menghubungi bapanya menerusi mesej WhatsApp pagi ini.
Tambahnya, juruterbang berjaya mendaratkan pesawat itu tetapi mungkin kerana tidak dapat mengawal pesawat, ia berlepas semula ke KLIA.
Pesawat itu mendarat di KLIA dan berada di sana selama sejam sebelum berlepas semula untuk kali kedua.
“Namun, sebelum ia berlepas semula 2 penumpang mengambil keputusan untuk meninggalkan penerbangan dan pesawat lewat 10 minit lagi,” kongsi remaja itu dalam mesej WhatsApp yang dikongsi dengan FMT.
Juruterbang kemudian berlepas ke Kuantan untuk kali kedua dan berjaya mendarat pada pukul 02:20 pagi, lebih 3 jam daripada waktu ketibaannya asal.
Bapanya remaja yang bersyukur anak dan penumpang lain mendarat dengan selamat mengucapkan terima kasih kepada juruterbang dalam laman sosial Facebooknya.