
Tudor Parfitt, ahli akademik yang terlibat dalam acara yang diadakan di Muzium Seni Metropolitan di New York dalam satu kenyataan berkata, ia susulan persoalan dana yang diraih Permata.
Menurutnya, penganjur tidak mengesan sebarang salah laku secara khusus tetapi mereka kesempitan masa membuat semakan terhadap organisasi itu.
Majlis anugerah yang diadakan pada 22 September memberi penghormatan kepada tokoh dan organisasi yang melawan ekstremisme.
Majlis itu dianjurkan Pengasas dan Pengerusi Antiquities Coalition Deborah Lehr bersama 6 wanita lain sebagai penganjur bersama.
Acara itu diadakan bagi menghargai hampir 12 individu dan organisasi dari Amerika Syarikat, Iraq, Kenya, Sudan Selatan, Nigeria dan negara lain, dalam pelbagai bidang berbeza – daripada pendidikan hingga memelihara warisan budaya – menentang ekstremisme keganasan.
Sebelum ini, Bernama memetik Ketua Setiausaha Kementerian Pendidikan yang juga Naib Presiden Suruhanjaya Kebangsaan Unesco Malaysia, Datuk Seri Alias Ahmad, mengumumkan anugerah itu akan diterima Datin Seri Rosmah Mansor selaku penaung Permata. Beliau turut menyifatkan ia penghormatan kepada Malaysia.
Anugerah yang diadakan sempena Persidangan Agung ke-71 PBB minggu ini merupakan inisiatif pertubuhan Antiquities Coalition.