Ramasamy ‘faham’ insiden belasah, tuduh duta Sri Lanka merisik

Ramasamy ‘faham’ insiden belasah, tuduh duta Sri Lanka merisik

Timbalan ketua menteri Pulau Pinang itu bukan sahaja menuding jari ke arah pesuruhjaya tinggi Sri Lanka di atas kecederaan yang dialaminya, bahkan berkata beliau menjalankan perisikan bagi pihak Colombo.

ramasamy-sri-lanka
PETALING JAYA:
Timbalan Ketua Menteri II Pulau Pinang P. Ramasamy sekali lagi tampil mempertahankan kemarahan terhadap kehadiran bekas presiden Sri Lanka Mahinda Rajapakse, tetapi kali ini menuduh Pesuruhjaya Tinggi negara itu, Ibrahim Sahib Ansar, menjalankan aktiviti perisikan bagi pihak Colombo.

Ramasamy mendakwa Ibrahim dihantar kerajaan Sri Lanka ke Malaysia bagi mengumpul maklumat mengenai aktivis pemisah Tamil, sehingga menyebabkan pelarian Tamil dihantar pulang untuk diseksa dan dipenjarakan di negara itu.

Malah, Ramasamy turut menuduh Ibrahim bertanggungjawab di atas serangan ke atasnya di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) minggu lepas kerana melontarkan kata-kata provokasi.

“Menurut sumber yang boleh dipercayai, apabila beberapa orang pemuda Tamil mendekati Ibrahim di KLIA dan menanyakan beliau di mana Rajapaksa, beliau dikatakan menjawab: ‘Kami akan menghapuskan Tigers di Malaysia seperti mana kami hapuskan LTTE di Sri Lanka’,” kata Ramasamy, merujuk kumpulan Pembebasan Harimau Tamil Eelam yang terlibat dalam perang berdekad di Sri Lanka, yang berakhir pada 2009 dengan kekalahan kumpulan pemisah Tamil itu.

Pada 4 September, sekumpulan lelaki membelasah Ibrahim di KLIA, dalam kejadian yang dirakamkan kamera litar tertutup. Polis memberkas 5 daripada suspek terlibat, dan hari ini mendakwa dua daripada mereka dihadapkan ke Mahkamah Sesyen atas pertuduhan melakukan rusuhan dan mendatangkan kecederaan.

Serangan itu susulan beberapa protes dianjurkan kumpulan yang membantah kehadiran Rajapaksa, yang dituduh melakukan jenayah perang ke atas penduduk Tamil di negara itu.

Rajapaksa dijemput ke Malaysia menghadiri Persidangan Antarabangsa Parti-parti Politik Asia (ICAPP) di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), tetapi terpaksa meninggalkan dewan selepas protes bertambah ganas dengan peserta mengugut menyerbu persidangan itu.

Ramasamy mempersoalkan mengapa lebih 500 laporan polis membantah kehadiran Rajapaksa tidak diendahkan.

“Mereka yang menunjuk perasaan kehadiran Rajapaksa bukan orang Tamil biasa. Rata-rata protest adalah aman dan berjalan mengikut demokrasi,” dakwanya.

Ditumbuk bertubi-tubi, klip video duta Sri Lanka diserang di KLIA

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.