‘Roboh tugu, jangan ikut Taliban dan IS’

‘Roboh tugu, jangan ikut Taliban dan IS’

Taliban dan IS terkenal dengan tindakan mereka memusnahkan peninggalan sejarah seperti tugu dan makam atas alasan agama.

Wan Ji Wan Hussin
PETALING JAYA: Malaysia tidak boleh mengikut jejak langkah kerajaan Taliban dan militan IS yang memusnahkan monumen dan peninggalan sejarah, kata pendakwah Wan Ji Wan Hussin.

“Hanya ada dua kerajaan yang berusaha meruntuhkan patung, iaitu Taliban dan IS. Malaysia tidak perlukan fikrah mereka,” kata bekas ahli jawatankuasa Dewan Ulama PAS Selangor itu kepada FMT.

Pada 2001, kumpulan Taliban yang pernah memerintah Afghanistan menerima kecaman antarabangsa selepas meletupkan beberapa tugu Buddha yang dibina sejak 1,500 tahun dulu di Bamyan di utara Kabul.

Kumpulan militan IS juga terkenal dengan tindakannya memusnahkan peninggalan sejarah seperti tugu dan makam, contohnya di Hatra, Iraq pada April tahun lalu.

Wan Ji berkata ketika insiden Bamyan, Taliban dikecam ulama Islam terkemuka termasuk Yusuf al-Qaradawi, yang menyertai delegasi rundingan dengan kumpulan itu agar membatalkan hasrat mereka.

Alasan yang diberikan golongan yang menyokong pemusnahan binaan berupa makhluk adalah ia boleh membawa kepada syirik, iaitu menyekutukan Allah dengan berhala.

Wan Ji bagaimanapun berkata ia tertakluk kepada interpretasi.

“Memang ada hadis tentang larangan melukis atau membuat sesuatu menyerupai makhluk, tetapi ia dibahas panjang lebar ulama Islam. Ada yang melarangnya secara mutlak, ada yang tidak.

“Al-Quran juga menyebut tentang patung dalam istana Nabi Sulaiman. Maka ada ulama berpandangan hadis itu hanya melarang jika ia membawa kepada syirik, dan tidak terpakai jika sekadar perhiasan dan dijamin tidak akan menjadi sembahan,” kata Wan Ji yang menyertai PKR tahun lalu.

Timbalan Mufti Perak Zamri Hashim baru-baru ini berkata binaan seperti tugu adalah haram di sisi Islam. Ia disusuli gesaan yang mahu tugu helang di Dataran Langkawi yang sekian lama menjadi mercu tanda pulau lagenda itu dimusnahkan.

Pandangan Zamri dipersetujui Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria, yang berkata prinsip sama juga terpakai terhadap Tugu Negara di Kuala Lumpur.

“Apa sahaja benda hidup, kecuali pokok, tidak boleh dibina sebagai replika atau tugu jika ia dibuat dalam keadaan yang lengkap semua anggota,” katanya seperti dipetik Astro Awani 3 September.

Timbalan Mufti Kedah Sheikh Marwazi Dziyauddin berkata perkara itu perlu dibincang Majlis Jawatankuasa Fatwa Negeri Kedah sebelum apa-apa keputusan diambil.

Burung helang berkait rapat dengan asal nama Langkawi dan replika yang terletak di Kuah itu merupakan antara tarikan pelancongan utama di sana.

Pendapat Wan Ji bagaimanapun bercanggah dengan Fadlan Othman, pengerusi Sekretariat Ilmuan Malaysia (Ilmu) yang sebelum ini dikenali Sekretariat Ulama Muda Umno.

Fadlan bersetuju dengan pandangan Harussani dan Zamri.

“Hujah yang mereka kemukakan berdasarkan aliran Ahli Sunnah Wal Jamaah, iaitu berlandaskan Al-Quran, hadis, ijma dan qiyas,” kata pensyarah Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) itu kepada FMT.

 

Pautan:

Agama tidak larang tugu, kata pakar seni bina Islam

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.