Angkut sambil lombong mungkin punca berjuta tan bauksit gagal dieksport

Angkut sambil lombong mungkin punca berjuta tan bauksit gagal dieksport

Fuziah tidak yakin baki bauksit itu dapat dikosongkan dalam tempoh tiga bulan ini, malah beliau juga bimbang dengan ramalan Kuantan mungkin dilanda banjir besar pada akhir tahun ini.

Free Malaysia Today
PETALING JAYA: Ahli Parlimen Kuantan Fuziah Salleh khuatir aktiviti melombong bauksit masih berlaku dan ia adalah punca 4.13 juta tan bauksit tidak sempat dieksport dari Pelabuhan Kuantan.

Wakil rakyat PKR itu berkata, kekhuatiran itu kerana ada dakwaan orang ramai.

“Ada 4.13 juta tan bauksit lagi kan? Ini yang saya tak faham, dah beberapa bulan masih tak settle? Itu yang saya khuatir ada aktiviti mengorek sambil membawa simpanan (bauksit) keluar,” katanya ketika dihubungi FMT hari ini.

Beliau mengulas keputusan kerajaan melanjutkan tempoh moratorium ke atas aktiviti perlombongan bauksit buat kali ketiga sehingga 31 Disember ini untuk mengosongkan baki 4.13 juta tan bauksit dalam simpanan.

Semalam, Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar, Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar memberi amaran moratorium itu akan dilanjutkan lagi, jika semua baki bauksit gagal dieskport menjelang hujung tahun ini.

Mengulas lanjut, Fuziah tidak yakin baki bauksit itu dapat dikosongkan dalam tempoh tiga bulan ini, malah beliau juga bimbang dengan ramalan Kuantan mungkin dilanda banjir besar pada akhir tahun ini.

“Bukan setakat angkut simpanan bauksit, tapi melihat juga kepada rantaian perlombongan. Daripada melombong sampai kepada mengangkut, sampai ikut laluan mana, sampai nak eskport.

“Aspek-aspek itu semua belum siap, belum ada laluan khas, belum ada lokasi stockpile, belum ada usaha rehabilitasi.

“Kalau (bauksit) tak dibersihkan, ia boleh menyebabkan banjir selut, sebab banyak hasil (bauksit) atas bukit. Kuantan ini kawasan paling rendah dan amat bahaya,” katanya.

Mengulas isu sama, penasihat teknikal pembangunan dan alam sekitar, Lee Tan menyifatkan lanjutan moratorium itu sebagai “kelegaan kecil”, tetapi kerajaan perlu mengkaji undang-undang mengawal selia perlombongan bauksit dan pencemaran alam sekitar serta memperbaiki kelemahan dan kekurangan yang menyebabkan bencana alam berlaku.

“Malaysia perlu memperketatkan undang-undangnya dan serius dalam melindungi alam sekitarnya. Ini adalah isu sangat serius yang akan menyebabkan kerajaan terpaksa mengeluarkan perbelanjaan besar.

“Pembayar cukai dan orang ramai yang perlu memikul beban serta berdepan bahaya daripada isu pencemaran,” kata anak jati Kuantan itu.

Pencinta alam sekitar, Andrew Sebastian menyokong keputusan kerajaan melanjutkan moratorium itu, tetapi jika semua baki bauksit itu tidak dapat dieksport menjelang 31 Disember ini, kerajaan perlu mengambil tindakan lebih tegas berbanding lanjutan moratorium semata-mata.

“Saya rasa tindakan lebih tegas dan ketat perlu diambil, bukannya setakat memberi satu lagi lanjutan moratorium kepada industri bauksit pada Disember nanti,” katanya.

Pada 6 Januari lalu, kerajaan mengumumkan pelaksanaan moratorium ke atas semua aktiviti perlombongan dan pengeksportan bauksit di Kuantan selama tiga bulan, bermula 15 Januari 2016, supaya kerajaan negeri dan pusat boleh melaksanakan penguatkuasaan bersepadu untuk menangani pencemaran alam.

Ia kemudiannya dilanjutkan selama dua kali dari 14 April sehingga 15 Julai dan 15 September ini.

Lanjutan ketiga itu bertujuan membolehkan 38 pemegang permit kelulusan (AP) khas mengosongkan baki simpanan bauksit di tiga pusat pengumpulan, iaitu Sungai Ular, Felda Bukit Goh dan Gebeng.

Pautan:

Lebih 4 juta tan bauksit masih tersadai di Kuantan

 

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.