
Biarpun tuan rumah sudah setahun tidak beraksi dalam perlawanan antarabangsa akibat penggantungan, skuad Garuda jelas bagai pasukan yang lapar sehingga mudah membaham pasukan bimbingan Datuk Ong Kim Swee.
Laluan pasukan negara mula nampak sukar seawal minit keenam apabila ketua pasukan Boas Salossa membuka jaringan apabila pertahanan Malaysia gagal mengawal pergerakannya dari garisan tengah.
Belum pun reda sorakan penonton, kelalaian pertahanan skuad Harimau Malaysia sekali lagi dihukum empat minit kemudian, kali ini menerusi jaringan penyerang Irfan Haarys Bachdim.
Segala kebangkitan yang diharapkan skuad negara menjadi semakin pudar apabila pergerakan pantas pasukan Indonesia memaksa pemain negara berkampung di kawasan sendiri.
Akhirnya Boas sekali lagi menjadi pemusnah apabila bertindak pantas membawa bola secara solo dalam kotak penalti dan menghasilkan gol ketiga untuk Indonesia pada minit ke-21.
Babak kedua menyaksikan perubahan pada pasukan Malaysia dengan mula menguasai permainan dan melancarkan serangan demi serangan, namun kekentalan pertahanan Indonesia berjaya menyekat serangan pelawat.
Indonesia yang tampil lebih defensif berjaya mengekalkan kedudukan 3-0 sehingga tamat permainan.