Aktivis PKR menceritakan sifat penyayang, hubungan rapat dengan kapten MH370

Aktivis PKR menceritakan sifat penyayang, hubungan rapat dengan kapten MH370

Kapten Zaharie yang merupakan antara 239 yang hilang dalam pesawat malang itu kerap berkunjung ke rumah dengan membawa pelbagai hadiah untuk tiga anaknya.

Free Malaysia Today
PETALING JAYA: Seorang aktivis PKR menceritakan kemesraan dan sifat penyayang yang ditunjukkan juruterbang pesawat Malaysia Airlines MH370, Kapten Zaharie Ahmad Shah, terhadap tiga anaknya, salah seorang menghidap penyakit Cerebral Palsy (kelumpuhan otak).

Bercakap kepada akhbar The Australian, Fatimah Pardi berkata hubungannya dengan Zaharie, juruterbang yang hilang bersama 238 penumpang dan anak kapal dalam penerbangan ke Beijing pada 8 Mac, 2014, menjadi lebih erat sejak mereka berdua terlibat sama sebagai sukarelawan PKR.

Ibu tunggal itu menggambarkan Zaharie seorang yang kerap memberikan kata-kata semangat kepadanya.

“Kami berdua mahu melakukan perubahan untuk negara. Sebab itu kami terlibat dalam politik,” kata bekas guru tadika itu.

“Kami berbual mengenai keluarga dan minat masing-masing, begitulah dia menjadi rapat dengan saya dan anak saya. Dia selalu berkunjung ke rumah saya membawa hadiah untuk anak… permainan kanak-kanak, makanan,” kata Fatimah, yang menafikan hubungan mereka itu boleh disifatkan percintaan.

“Saya tidak percaya dia mencintai saya. Dia menyayangi anak saya. Apa-apa yang mereka minta, ‘kami mahu itu, kami mahu ini’, dia belikan.

“Saya mengadu kepadanya jangan manjakan mereka. Dia menjawab, mereka masih kecil. Apa yang boleh saya katakan? Dia menyayangi anak saya,” kata Fatimah, yang berkata Zaharie amat mesra dengan anak bongsunya.

Fatimah masih menyimpan gambar Zaharie bersama anak bongsunya tersenyum di sebuah restoran.

Selepas kehilangan pesawat itu, anaknya kerap bertanyakan bila Zaharie akan berkunjung.

“Saya memberitahunya selalu berdoa dia kembali dan dia berdoa setiap hari untuknya.”

Fatimah berkata Zaharie selalu memberikannya kata-kata semangat.

“Ada masanya, dengan anak kurang upaya membuatkan anda sedih kerana tidak dapat berbuat apa-apa untuk anak anda, tetapi dia menasihati saya dan memberikan saya kekuatan dalaman.”

Bagaimanapun, Fatimah berkata pertemuan mereka lebih jarang sejak Januari 2014, 2 bulan sebelum tragedi kehilangan pesawat MH370.

Usaha mencari pesawat itu masih tidak berhasil walaupun kawasan seluas 110,000km persegi menjadi tumpuan operasi pencarian selama lebih 2 tahun melibatkan pihak berkuasa Australia, Malaysia dan China.

Pada 3 September tahun lalu, pihak berkuasa Perancis mengesahkan serpihan yang dijumpai pada Julai merupakan bahagian sayap sebuah pesawat Boeing 777, yang disahkan Malaysia berasal dari pesawat MH370, menjadikannya serpihan pertama pesawat malang itu.

Fatimah turut menceritakan dia pernah berjumpa kakak Zaharie, Sakinab, yang tersentuh dengan kasih sayang yang ditunjukkan Zaharie kepada tiga anaknya.

“Dia (Zaharie) memberitahu saya anaknya sudah besar dan dia menyayangi mereka. Katanya, dia kerap menghabiskan masa bersendirian di rumah, cuma dia dan orang gajinya.”

Tetapi sesuatu yang Fatimah enggan berkongsi adalah pesanan terakhir Zaharie menerusi aplikasi WhatsApp.

Ditanya sama ada pesanan itu mungkin membantu merungkai misteri kehilangan pesawat itu, Fatimah menjawab: “Saya tidak tahu”.

“Perbualan terakhir antara saya dan dia. Saya tidak mahu bercakap mengenainya,” katanya yang bimbang ia boleh disalah faham.

 

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.