
“Sebagai anak muda, kami juga ingin mengajak seluruh kepimpinan anak muda untuk pantas melihat ke hadapan dan tidak terbelenggu dengan kisah lampau yang memilukan.
“Harapan rakyat wajib kita galas demi kepentingan bangsa dan negara yang dahagakan perubahan,” kata Timbalan Ketua Pemuda PKR, Dr Afif Bahardin.
Isnin lalu, negara dikejutkan dengan tindakan Dr Mahathir yang hadir ke Mahkamah Tinggi untuk bertemu dengan Anwar, 18 tahun selepas pemecatan bekas timbalannya yang mencetuskan krisis politik paling serius di Malaysia.
Kedua-dua pemimpin yang menjadi musuh ketat itu dilihat bersalaman dan beramah mesra, dan mengadakan perbincangan ringkas dalam kamar mahkamah.
Dr Mahathir berkata kehadirannya ialah bagi menyatakan sokongan kepada Anwar yang mahu mencabar kesahihan Akta Majlis Keselamatan Negara.
Dr Afif turut menyatakan rasa kagum dengan “ketinggian budi dan jiwa besar Anwar” di samping “kesanggupan” Dr Mahathir mengenepikan perseteruan masa lalu demi masa depan rakyat Malaysia.
“Kami mengalu-alukan pertemuan ini yang membuka lembaran baru untuk satu usaha kerjasama yang lebih utuh untuk pakatan pembangkang di negara ini.
“Kami menyeru semua pihak, terutamanya pimpinan Keadilan di pelbagai peringkat untuk sedia meneladani sikap Ketua Umum kita, Anwar Ibrahim yang sedia mengenepikan sentimen peribadi demi kepentingan rakyat dan masa depan negara.
“Pastinya idealisme perjuangan yang ditunjukkan beliau adalah untuk kita membenci kezaliman dan penindasan, tetapi komited kepada agenda reformasi dan perubahan demi rakyat Malaysia,” kata beliau.
Pautan: