Perkongsian maklumat serangan ‘lone wolf’ dipertingkat

Perkongsian maklumat serangan ‘lone wolf’ dipertingkat

Polis berkata cubaan serangan seperti ini sukar dikesan memandangkan mereka yang terlibat menerima arahan menerusi laman sosial seperti Facebook.

Ayob-Khan
KUALA LUMPUR:
Perkongsian maklumat risikan di kalangan agensi serantau dan antarabangsa perlu dipertingkat bagi mengekang rancangan serangan secara bersendirian atau ‘lone wolf’ daripada anggota militan IS.

Ketua Penolong Pengarah Bahagian Counter Terrorism Cawangan Khas Bukit Aman Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata cubaan serangan seperti ini sukar dikesan memandangkan mereka yang terlibat menerima arahan menerusi laman sosial seperti Facebook.

Katanya, 3 lelaki berusia 16, 17 dan 28 tahun berjaya ditahan kerana merancang melakukan serangan ‘lone wolf’ di negara ini sejak 2013.

“Kerjasama dan maklumat risikan yang berkesan daripada semua pihak berjaya menahan 3 individu ini daripada melakukan serangan itu.

“Serangan ‘lone wolf’ memang agak sukar dikesan kalau tiada maklumat daripada ‘intelligence’,” katanya.

Ayob Khan berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri majlis International Association for Counter-Terorism and Security Professional (IACSP) ASEAN Security Symposium and Awards di sini, hari ini.

Pada 13 Ogos lepas, seorang remaja berusia 17 tahun yang ditahan di Sabah merancang melakukan serangan ‘lone wolf’ dengan menyembelih orang bukan Islam di Sandakan selepas menerima arahan daripada anggota IS di Syria.

Beliau turut mengesahkan 3 rakyat Malaysia yang merupakan pengebom bunuh diri iaitu Hassan Zakaria dan Abu Salim masing-masing berusia 20-an serta Muhammad Izzul Imam Mohd Isa, semuanya yang menyertai IS, terbunuh di Syria minggu lepas.

Ayob Khan berkata seramai 90 rakyat Malaysia dikesan berada di Syria dan Iraq kerana terlibat dengan kumpulan militan Daesh setakat ini.

Katanya, daripada jumlah berkenaan, 24 orang dilaporkan terkorban termasuk kerana terlibat sebagai pengebom bunuh diri manakala lapan daripada 90 orang itu pulang ke Malaysia dan berjaya ditahan.

“Mereka dipercayai balik untuk melakukan serangan, mendapatkan rawatan dan ada yang menjadikan negara sebagai transit sebelum pergi semula ke Syria,” katanya.

 

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.