
Khairy berkata beliau terpaksa bertindak sedemikian kerana wujud tanggapan awam dan dakwaan mengatakan ada bukti rasuah membabitkan FAM dalam pendrive yang diserahkan Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim kepadanya.
“Campur tangan adalah apabila kerajaan campur tangan dalam pemilihan FAM, polisi dan juga pengurusan FAM. Itu baru campur tangan kerajaan,” katanya pada sidang media selepas mengumumkan Milo selaku penaja Perak untuk Sukan SEA ke-29 dan Sukan Para Asean kesembilan (KL2017) di Putrajaya hari ini.
Beliau berkata demikian sebagai mengulas kenyataan bekas setiausaha agung Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) Datuk Peter Velappan yang mendakwa pembabitan Khairy dan SPRM dalam isu pendrive itu dilihat menjurus kepada campur tangan kerajaan.
Khairy berkata tiada individu termasuk persatuan sukan, ahli gabungan persatuan sukan antarabangsa yang kebal daripada undang-undang rasuah dalam negara kita.
“Takkan Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) nak kata FAM kena kebal daripada segala undang-undang atau siasatan, itu tidak masuk akal,” katanya.
Katanya, apabila wujud tanggapan awam yang pendrive itu mengandungi bukti rasuah membabitkan FAM maka ia tidak boleh diselesaikan oleh FIFA.
“FIFA perlu faham apabila persatuan sukan itu berpangkalan di sebuah negara, maka ia perlu mematuhi undang-undang negara berkenaan,” katanya.
Khairy berkata pendrive serta naskhah yang diserahkan itu merupakan bahan asal sepertimana diterimanya daripada Tunku Ismail pada 26 Ogos lepas.
Awal hari ini, SPRM mengesahkan tiada unsur rasuah dalam isi kandungan pendrive yang dikatakan mengandungi butiran salah urus FAM itu.
Pengarah Siasatan SPRM Datuk Azam Baki berkata susulan itu pihaknya akan menghantar satu laporan mengenai siasatan tersebut kepada FAM dalam tempoh terdekat bagi proses penambahbaikan dan tindakan khususnya isu teknikal yang dibangkitkan.
Pautan: