Zika: 3 sekeluarga dikuarantin selepas pulang dari Singapura

Zika: 3 sekeluarga dikuarantin selepas pulang dari Singapura

Tiga wanita itu tidak menunjukkan sebarang simptom, tetapi pihak berkuasa kesihatan masih menunggu hasil ujian.

zika
PETALING JAYA: Tiga wanita dikuarantinkan di rumah mereka di Durian Tunggal, selepas pulang dari Singapura yang mempunyai kes jangkitan virus Zika, minggu lalu.

Tiga sekeluarga yang berkunjung ke Singapura pada 26 hingga 30 Ogos lalu itu, tidak menunjukkan sebarang simptom, tetapi pihak berkuasa kesihatan masih menunggu hasil ujian.

Exco kesihatan negeri, Datuk Ab Rahaman Ab Karim yang dipetik NST Online sebagai berkata, tiada kes jangkitan Zika yang disahkan positif di Melaka, setakat ini.

Pengerusi jawatankuasa kesihatan, pembangunan sukan dan anti dadah negeri itu yang dipetik Bernama pula berkata, Jabatan Kesihatan Melaka memperketatkan saringan kesihatan di pintu masuk negeri, iaitu Kompleks Kuarantin Kastam dan Imigresen (CIQ) dan Lapangan Terbang Antarabangsa Melaka (LTAM).

“Saringan kesihatan sudah diperketatkan dengan meletakkan pasukan kesihatan di pintu masuk CIQ dan LTAM dan penggunaan alat pengesan suhu bagi mengesan pengunjung yang mempunyai simptom virus itu,” katanya.

Beliau berkata, pelbagai proses perlu dilalui termasuk ujian darah, sebelum seseorang itu disahkan positif dijangkiti virus Zika dan andaian awal demam dikaitkan dengan virus itu adalah kurang tepat.

“Sekiranya benar terdapat kes jangkitan virus Zika di negeri ini, ia hanya akan diumumkan Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr S Subramaniam,” katanya.

Malaysia merekodkan kes virus Zika pertama pada Khamis lalu, apabila seorang wanita dari Klang yang pulang dari Singapura pada 21 Ogos lalu, disahkan positif virus itu.

Wanita berusia 58 itu dirujuk ke Hospital Sungai Buloh selepas mendapatkan rawatan di sebuah klinik swasta di Klang susulan gejala ruam yang muncul seminggu sekembalinya dari negara jiran terbabit.

Sementara itu, Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Idris Haron menasihatkan orang ramai tidak mudah percaya kepada khabar angin disebarkan menerusi media sosial berkaitan penularan virus Zika di negeri itu.

Sebaliknya, beliau berkata, orang ramai perlu merujuk pengesahan Kementerian Kesihatan dan menyemak kesahihan khabar angin itu dengan pihak berkaitan, termasuk Jabatan Kesihatan Melaka dan kerajaan negeri sebelum membuat sebarang andaian.

“Sehingga kini, kami tidak menerima sebarang laporan rasmi daripada Kementerian Kesihatan atau Jabatan Kesihatan Melaka berhubung jangkitan virus tersebut. Tunggu makluman rasmi, jangan terpengaruh dengan khabar angin.

“Ia boleh memberi amaran bahaya palsu atau rasa tidak senang di kalangan masyarakat, terutama penduduk negeri ini,” katanya selepas merasmikan Festival Antarabangsa Sungai Melaka, malam tadi.

Idris berkata, Jabatan Kesihatan Melaka sentiasa memantau dan mengambil langkah berjaga-jaga bagi mengekang penularan virus Zika di negeri itu.

“Kita tahu pelancong dari Singapura menjalani saringan ketat di sana dan juga di Johor Bahru sebelum masuk ke Melaka, tetapi kita akan tetap memantau perkara ini,” katanya.

Pautan:

Wanita dari Klang pesakit pertama Zika di Malaysia

 

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.