Jangan leka dan syok sendiri, pesan Najib kepada ahli Umno

Jangan leka dan syok sendiri, pesan Najib kepada ahli Umno

Najib mengingatkan ahlinya tidak mengkhianati parti kerana Umno merupakan 'produk' terbaik setakat ini yang mampu membela agama Islam dan orang Melayu di negara ini.

najib umno
PEKAN: Semua ahli Umno dan Barisan Nasional (BN) digesa terus memperkukuhkan semangat kebersamaan, selain ikhlas dalam perjuangan untuk memastikan parti terus kuat dan berjaya mengharungi arus Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak berkata, mereka tidak lagi boleh bersikap leka atau syok sendiri, kerana dunia politik bersifat dinamik, tidak statik dan sentiasa mengalami ‘jatuh bangun’.

“Kalau kita amalkan semangat kebersamaan, kita boleh jadi sebuah negara lebih kuat dan berjaya. Jika singkap sejarah negara, kita boleh gunakan pengalaman dan beberapa detik peristiwa di mana kebersamaan antara kita membuahkan keberhasilan agak luar daripada jangkaan.

“Ia termasuk semasa kita menuntut kemerdekaan dengan semangat kebersamaan antara pemimpin seperti Tunku Abdul Rahman, Tun Tan Cheng Lock dan Tun V T Sambanthan, kita berjaya mendapat kemerdekaan dengan cara lebih mudah daripada kebanyakan negara lain.

“Malah, semasa PRU pertama 1955, hasil semangat kebersamaan, Parti Perikatan ketika itu sudah meraih kemenangan cemerlang dengan membolot hampir semua kerusi,” katanya ketika berucap merasmikan persidangan perwakilan Umno Bahagian Pekan di Dewan Konvensyen Sultan Haji Ahmad Shah hari ini.

Menurut Najib, ahli parti juga perlu menjadikan PRU ke-10 di Pekan sebagai pengajaran, apabila Umno dan BN ketika itu hampir tersungkur kerana meninggalkan prinsip kebersamaan ditambah dengan faktor luaran.

“Barangkali sebahagian besar daripada kita masih segar dalam ingatan mimpi ngeri PRU 1999 apabila kita nyaris rebah, walaupun banyak faktor luaran yang mempengaruhi keputusan, namun tidak kurang pentingnya faktor dalaman yang menyumbang kepada keputusan saya sebut sebagai mimpi ngeri itu.

“Hari ini, saya nak mengingatkan diri sendiri ini mesti dijadikan sempadan supaya ia tidak berulang dan sejak PRU itu kita bangkit kembali dengan semangat baru menjadikan keputusan yang diperoleh selepas itu semakin baik,” katanya.

Untuk rekod, pada PRU ke-10, Najib yang bertanding di Parlimen Pekan hanya menang tipis dengan memperoleh majoriti 241 undi ketika menentang calon PAS, Ramli Mohamed.

Presiden Umno itu turut mengingatkan ahlinya tidak mengkhianati parti kerana ia merupakan ‘produk’ terbaik setakat ini yang mampu membela agama Islam dan orang Melayu di negara ini.

“Kalau kita ada sesuatu yang baik, kita jagalah…janganlah buat kerenah. Saya tidak ada niat lain melainkan mahu menjadikan Umno dan BN terus berjaya di Pekan dan di tempat lain.

“Kita adalah harapan untuk masa depan negara…jadi kita kena lipat gandakan semangat kebersamaan, perkukuhkan kesetiaan sepanjang hayat kepada perjuangan parti.

“Kalau tidak suka saya, lawanlah saya dalam parti, saya pun ada bala tentera saya, boleh lawan tengok siapa yang akan menang, tetapi jangan sesekali khianati Umno kerana inilah parti keramat orang Melayu, berbeza pendapat boleh, tetapi ada kaedahnya.

“Kita berhimpun ini atas semangat kebersamaan, boleh tegur sesama kita dan beri pandangan, saya sedia terima teguran. Jika ada tidak betul kita betulkan, ini tujuan kita bersidang, untuk tambah baik,” katanya sambil disambut tepukan gemuruh perwakilan.

Dalam majlis itu, Najib turut menyampaikan sumbangan 500 ekor lembu korban, termasuk 20 ekor yang disumbangkan secara peribadi kepada surau dan masjid di seluruh Parlimen Pekan sempena Hari Raya Aidiladha.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.