
Laporan Malay Mail Online yang memetik kajian Politweet menyatakan PKR kini diikuti lebih ramai orang di Facebook dengan 1.8 juta pengguna dirapati PAS dengan 1.6 juta pengguna.
Manakala pengikut DAP turun mendadak kepada hanya 1.1 juta pengguna Facebook berbanding angka kemuncaknya pada Januari tahun ini iaitu 4.6 juta.
Ini adalah penurunan yang besar memandangkan DAP sebelum Mei mendapat perhatian yang paling banyak di Facebook selepas Umno.
“Sejak April 2013 DAP adalah parti pembangkang yang paling kuat di Facebook dari segi minat pengguna.
“Kini, DAP adalah parti pembangkang yang paling lemah di Facebook berbanding PKR dan PAS, dan ini mungkin akan menyebabkan ia berdepan cabaran dalam menyebarkan mesejnya kepada pengikut laman sosialnya,” kata Politweet dalam kaji selidiknya.
Pada waktu puncak, DAP pernah menyaksikan lebih 3 juta lelaki dan 1.8 juta wanita yang menyatakan minat terhadap parti itu.
Secara geografi pula, minat terhadap terhadap DAP jatuh di semua negeri termasuk kubu kuat Roket, Pulau Pinang.
Parti itu kehilangan 69% minat pengguna di Pulau Pinang, manakala PKR, PAS dan Umno menunjukkan peningkatan.
Kajian itu juga menunjukkan kehilangan penonton antara 45% dan 74% dalam semua kategori usia dan paling buruk ialah kumpulan usia 13-20 tahun dan 31-50 tahun yang membawa pengurangan keseluruhan 62.21%.
Menurut Politweet, penurunan minat keseluruhan ini berpunca daripada beberapa insiden yang berlaku dalam parti itu sehingga memberi kesan kepada pengguna pelbagai peringkat usia.
Minat terhadap DAP memuncak apabila parti itu memutuskan hubungan dengan PAS berhubung perbezaan pendapat mengenai hudud pada Mac 2015 namun jatuh selepas ia mengisytiharkan pemansuhan Pakatan Rakyat pada Jun tahun yang sama.
Politweet dalam kajian Twitter sebelum ini ini menyatakan penurunan minat juga disumbangkan oleh skandal pembelian banglo Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng.
“Kejatuhan ketara juga dilihat antara Mac-April 2016 apabila timbul tuduhan terhadap Lim Guan Eng,” kata Politweet.