
Menteri Tenaga Manusia Hanif Dhakiri berkata, kampung tersebut akan menjadi model kerajaan dalam memberi perlindungan menyeluruh rakyatnya yang mencari kerja di luar negara daripada ditipu agensi rekrut tidak bertanggungjawab dan tidak sah sehingga dihantar ke luar negara tanpa dokumen rasmi.
Enam kampung tersebut adalah Bao Lali Duli, Beutaran, Dulitukan, Lamatokan, Lamawolo dan Tagawit, semuanya di daerah Ile Ape di Nusa Tenggara Timur (NTT).
“Masyarakat kampung di NTT, Indonesia mengamalkan budaya bekerja di luar negara sejak sebelum kemerdekaan Indonesia lagi. Itu antara sebab kami memilih perkampungan dari daerah berkenaan,” kata Hanif seperti dipetik Jakarta Post.
Dalam pada itu, beliau juga menggesa pentadbiran Presiden Joko “Jokowi” Widodo agar menghormati pilihan rakyatnya bekerja di luar negara kerana ia dilakukan demi memperbaiki kehidupan dan ekonomi kampung halaman.
“Salah satu cara negara ini boleh membantu pekerja asing dari Indonesia ialah dengan menyediakan urusan pengambilan yang sah serta penempatan dan perlindungan tenaga kerja Indonesia yang selamat,” katanya.
Selaku wakil negeri, Hanif juga berharap setiap peringkat bermula dari kerajaan hingga kampung memainkan peranan dalam mendokumentasikan pilihan rakyat Indonesia yang ingin bekerja di luar negara.
“Tujuan kita menekankan pentadbiran kampung adalah kerana ia menjadi pusat utama pengambilan dan penempatan pekerja asing dari Indonesia.
“Kampung adalah sumber utama pekerja asing. Permohonan kerja ke luar negara jarang sekali berlaku dalam kalangan penduduk bandar,” tambahnya.