AS anggap ketum sama bahaya dengan heroin

AS anggap ketum sama bahaya dengan heroin

Penetapan ini adalah untuk tempoh 3 tahun dan mungkin akan dilanjutkan selama-lamanya, kata laporan itu.

DEA-ketum-2
PETALING JAYA:
Pentadbiran Penguatkuasaan Dadah (DEA) Amerika Syarikat baru-baru ini mengelaskan tumbuhan ketum dalam Jadual I sebagai bahan bukan untuk penggunaan perubatan dan berpotensi tinggi untuk disalahgunakan.

Memetik laporan CNN, klasifikasi itu akan berkuat kuasa bermula 30 September. Turut termasuk dalam Jadual I ialah heroin, LSD, ganja dan ekstasi.

Penetapan DEA bagaimanapun adalah untuk tempoh 3 tahun dan mungkin akan dilanjutkan selama-lamanya, kata laporan itu.

Ketum dikenali Kratom di AS, sebelum ini dalam kawalan longgar Pentadbiran Makanan dan Ubat-Ubatan (FDA) AS.

“Apabila diambil pada kadar yang rendah, ketum bertindak seperti perangsang, sekali gus meningkatkan kewaspadaan. Tetapi pada kadar yang lebih tinggi, ketum menjadi sedatif, menghasilkan kesan opioid yang boleh menyuramkan kesakitan.

“Ia memberikan kesan sedemikian kerana kandungan aktifnya, mitragynine dan 7-hydroxymitragynine yang bertindak balas kepada reseptor opioid dalam badan kita,” kata Profesor Perubatan Kecemasan, Sekolah Perubatan University of Massachusetts Dr. Ed Boyer.

“Ia beberapa kali lebih kuat daripada morfin dan boleh mententeramkan kesakitan…. Anda boleh menggunakannya sebagai penenang yang sangat berkesan,” katanya.

Pada tahun 2014, FDA mengeluarkan amaran import yang membolehkan pegawai kastam menahan ketum tanpa pemeriksaan fizikal susulan tumbuhan itu dikenal pasti membawa risiko kepada kesihatan awam dan mempunyai potensi untuk penyalahgunaan.

Antara Februari 2014 dan Julai 2016, DEA telah merampas hampir 112 tan ketum, kata laporan itu.

Bulan lalu, Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Industri Getah (RISDA) menggesa kerajaan membenarkan pekebun kecil untuk menanam ketum untuk dieksport bagi meningkatkan pendapatan mereka.

Gesaan itu disuarakan oleh petani ketum dan pengamal perubatan tradisional di Kedah, Perlis dan Pulau Pinang, yang menyatakan wujud permintaan tinggi untuk daun itu (kegunaan perubatan) di luar negara.

Pautan:

Kerajaan tolak cadangan Risda tanam ketum

Ketum mampu jana berbilion ringgit kepada negara, kata pengerusi Risda

Tidak ada undang-undang larang tanam ketum, kata KPN

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.