
Saya dan seorang kawan terjelepok di sofa. Jam sudah 2.30 pagi dan lagi 10 jam kami akan menaiki penerbangan pulang ke Kuala Lumpur.
Sukar mencari restoran dan kafe yang masih beroperasi pada waktu begini di Jepun, walaupun anda di Osaka, kota kedua terbesar di negara matahari terbit ini. Apatah lagi yang menyediakan ‘plug’ dan wifi percuma.
Dua gelas coca-cola tidak terusik di meja kerana masing-masing kepenatan. Tiada pelanggan lain selain kami. Diselubungi rasa bersalah, saya menjawab: “Kenal. Jeneral Yamashita digelar Harimau Malaya. Kami belajar tentangnya di sekolah.”
Jawapan itu ternyata menggembirakannya, dan bermulalah kelas sejarah alternatif Perang Dunia Kedua oleh seorang pemilik bar yang minum bukan untuk mabuk, tetapi untuk kekal mabuk.
Beliau kemudian berkisah tentang generasi muda yang tidak lagi mengetahui sejarah negara dan figuranya. Bebelan biasa bagi lelaki separuh umur, tiada apa yang baru.
“Anda kenal Yamashita sebab anda berdua orang pandai-pandai,” katanya sambil ketawa.
Nori-san ialah cucu kepada tentera laut Jepun ketika Perang Dunia Kedua. Dan menurutnya, tentera laut ketika itu keberatan untuk menyerang Amerika Syarikat dan British, tetapi terpaksa melakukannya selepas Tentera Imperial Jepun (IJA) tetap berdegil melancarkan serangan.
Saya tidak ambil pusing sejauh mana kebenaran kata-katanya kerana apa yang tersirat itu ialah perasaan kompleks masyarakat Jepun terhadap Perang Dunia Kedua.
Di sebalik kebanggaan sebagai negara kecil yang menjadi gergasi dunia, mereka tidak dapat lari daripada hakikat kekejaman tentera dan kerajaan mereka ketika perang dunia lebih 70 tahun lalu.
“Kami membayar harganya sehingga sekarang. Jerman dan Itali juga kalah perang, tetapi hanya Jepun yang masih menggalas hutang dan terpaksa tunduk kepada negara barat,” katanya.
Dengan tidak semena-mena, Nori-san bangkit daripada kerusinya di sebalik bar dan menunduk, “maafkan nenek dan moyang kami atas apa yang mereka lakukan kepada negara anda”.
Sebelum Osaka, di Tokyo
Kira-kira setengah jam selepas waktu yang dijanjikan, kami akhirnya tiba di pintu keluar timur stesen Shinjuku. Itou-san dan Kanna-san sudah menunggu selama sejam di sana.
Kami ‘tersesat’ seketika di Koenji, pusat pakaian vintaj dan kesesakan di stesen Shinjuku pula tidak membantu. Kami dihubungkan dengan Itou-san dan Kanna-san oleh seorang kawan yang pernah membawa diri ke Jepun, 8 tahun lalu.
‘Kawan kepada kawan’ – istilah keramat jika anda berada di tempat asing.
Selepas berjalan kaki kira-kira 500m membelah kesibukan pusat komersial terkenal itu, kami tiba di sebuah lorong yang sedikit sunyi. Di situ terletaknya Café Lavanderia, sebuah ‘ruang’ di mana acara diskusi, tayangan filem dan persembahan muzik diadakan.
Ruang kafe dipenuhi buku sastera dan politik berbahasa Jepun, dan dihiasi alat muzik serta bendera ‘Anti-fascist Action’ yang tergantung di dinding.
Di sana kami bertemu beberapa lagi rakan baharu, dan perbualan melompat daripada muzik, sastera, kucing sehingga kepada topik yang nampaknya sudah tidak dapat dielakkan lagi – Jepun dan perang.
Ia bermula apabila mereka bertanya tentang muzik di Malaysia dan kami menunjukkan video sebuah kugiran Punk. Pertimbangan ketika itu ialah muzik yang sesuai dengan tema. Tetapi secara retrospektif, kami sepatutnya kekal saja dengan Yuna.
“Fasis!,” kata salah seorang daripada mereka, sambil menuding ke arah pemain bass kugiran tersebut, yang memakai baju bercorak bendera ‘Rising Sun’ – panji Tentera Imperial Jepun ketika Perang Dunia Kedua.
Beliau mengambil sekeping gambar yang memaparkan ‘Rising Sun’ dikibarkan bersama-sama lambang Swastika yang dicuri Nazi Jerman. “Mungkin sekadar fesyen,” kata kami dan semua ketawa.
Itou-san yang memakai baju ‘Peace Palestine’ kemudian mengambil beberapa majalah era Perang Dunia Kedua, yang memaparkan sumbangan dan usaha Jepun memajukan negara yang dijajahnya, terutama China dan Korea.
“Propaganda yang bagus adalah seni,” kata saya kepadanya, sambil membuang jauh-jauh niat menyeludup majalah itu dan menjualnya dengan harga tinggi kepada pengumpul buku langka di Malaysia nanti.
“Kita tidak mampu lagi untuk berperang. Jepun tidak boleh mengulangi kesilapan lalu,” kata Tomoko-san, seterusnya menceritakan tentang protes yang disertai mereka bagi menentang pentadbiran Shinzo Abe meminda Artikel 9 Perlembagaan Jepun.
Artikel 9 Perlembagaan Jepun (yang juga dikenali sebagai Perlembagaan Keamanan dan dirangka selepas tamat perang) melarang perang sebagai cara menyelesaikan apa-apa pertikaian antarabangsa yang melibatkan negara itu.
Memetik laporan The Guardian 11 Julai lalu, pentadbiran Abe sudah lama ingin meminda artikel itu bagi membolehkan tentera Jepun yang dinamakan sebagai ‘Pasukan Pertahanan Jepun’ bertindak seperti angkatan tentera konvensional.
Abe dan pihak yang menyokong pindaan merasakan artikel itu menyekat Jepun daripada bertindak balas terhadap ancaman seperti keganasan, kemaraan China serta program nuklear Korea Utara.
Erti Ogos buat Malaysia dan Jepun
Jika Ogos memberikan erti kemerdekaan pada Malaysia, atau sekurang-kurangnya Malaya, Jepun menanggapinya sebagai bulan untuk mengenang.
Tanggal 15 Ogos 1945, Maharaja Hirohito mengumumkan penerimaan syarat penyerahan kalah yang ditetapkan Tentera Bersekutu. Jepun merangka perlembagaan baharu yang digelar ‘Perlembagaan Keamanan’ dan Tentera Imperial Jepun ditukar menjadi Pasukan Pertahanan Jepun.
Pada bulan sama 7 tahun kemudian, Tunku Abdul Rahman melaungkan ‘merdeka’. Malaysia seterusnya dibentuk bersama-sama Sabah, Sarawak dan Singapura.
Selainnya ialah sejarah, bagi Malaysia yang dijajah dan juga Jepun yang menjajah. Jepun lahir semula sebagai gergasi ekonomi, budaya dan teknologi dunia. Malaysia pula…anda sudah ada pendapat masing-masing.
Namun setibanya Ogos setiap tahun, Malaysia dan Jepun akan kembali dihantui sejarah dan isu sekitarnya yang tidak selesai.
Malaysia selaku negara yang relatifnya muda masih bergelut untuk menentukan identitinya. Jepun pula antara mengenang mangsa dan askar yang terkorban, dan roh yang menjadi korban mereka.