Pemuda Umno gesa tindakan ‘hadis’ belakang patung

Pemuda Umno gesa tindakan ‘hadis’ belakang patung

Rafizal bergegas ke lokasi selepas menerima aduan orang awam berkenaan tulisan Jawi pada punggung patung beruang itu.

hadith
GEORGE TOWN: Tulisan berbahasa Arab dipercayai hadis dibahagian belakang sebuah patung beruang yang dipamerkan di perkarangan Padang Kota di sini menimbulkan rasa kurang senang orang ramai.

Walaupun patung beruang berkenaan sudah dialihkan, namun gambar tulisan tersebut tersebar meluas selepas dikongsi di Facebook.

Hadis yang diriwayatkan oleh Bukhari dan Muslim, bermaksud; “Janganlah kamu [benar-benar] beriman sehingga dia mencintai saudaranya seperti dia cintai untuk dirinya sendiri.”

Susulan itu, Ketua Pemuda Umno Pulau Pinang Rafizal Abdul Rahim menggesa polis bertindak ke atas pihak penganjur yang dipercayai menjejaskan sensitiviti umat Islam Melayu.

“Saya dan Timbalan Ketua Pemuda, Jasmin Nordin bergegas ke lokasi selepas menerima aduan orang awam berkenaan tulisan Jawi pada punggung patung beruang,” katanya merujuk kepada tulisan Arab itu.

“Setibanya di lokasi terbabit, patung itu sudahpun dialihkan, seolah-olah pihak penganjur tahu ketibaan kami,” katanya dalam satu kenyataan.

Beruang berkenaan adalah sebahagian daripada lebih 140 United Buddy Bears yang mewakili semua negara dan bandar raya di seluruh dunia menonjolkan pelancongan global untuk menggalakkan keamanan dan keharmonian.

Semua patung yang dipamer dalam bentuk beruang setinggi 2 meter dengan simbol dan ayat-ayat inspirasi mewakili negara masing-masing.

Dalam pada itu, Rafizal kesal dengan apa yang berlaku dan mahu penganjur acara itu dibawa ke muka pengadilan kerana menghina Melayu dan Islam.

“Perbuatan ini, lebih-lebih lagi pada Hari Kebangsaan di mana lokasi ini dipenuhi pelancong langsung tidak boleh diterima.

“Kami juga tertanya-tanya jika tindakan berani mereka ini adalah sebahagian daripada fahaman pluralis Pulau Pinang?” tanyanya.

Rafizal berharap supaya perkara tersebut tidak berulang dan pihaknya tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan ke atas pihak penganjur.

 

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.