DAP Pulau Pinang tidak akan siasat isu rasuah bapa Siew Kim

DAP Pulau Pinang tidak akan siasat isu rasuah bapa Siew Kim

Perkara ini tidak melibatkan Siew Khim, maka DAP akui tiada keperluan menyiasatnya dan DAP tidak akan membuat sebarang siasatan dalaman yang tidak melibatkan anggota parti.

Lim Siew Khim
GEORGE TOWN: DAP Pulau Pinang tidak akan membuka siasatan dalaman terhadap Anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) Sungai Pinang, Lim Siew Khim berhubung dakwaan mengaitkan bapanya dengan amalan rasuah dalam satu kes mendapatkan rumah kos rendah oleh seorang pembeli.

Pengerusi DAP Pulau Pinang Chow Kon Yeow berkata perkara ini tidak melibatkan Siew Khim, jadi tiada keperluan untuk membuka siasatan terhadapnya dan DAP tidak akan membuat sebarang siasatan dalaman yang tidak melibatkan anggota parti.

“Perkara ini menjadi isu (kerana) kebetulan orang yang terlibat ini merupakan ayah kepada seorang Adun namun saya diberitahu ayah Siew Khim bukan seorang ahli DAP,” katanya kepada pemberita selepas majlis sambutan Hari Kebangsaan peringkat negeri di Padang Kota Lama sini hari ini.

Semalam, Pengarah Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Pulau Pinang Datuk Abd Aziz Aban mengesahkan SPRM memulakan penyiasatan terhadap urusan dikenali sebagai ‘rasuah untuk rumah’ bagi mendapatkan rumah mampu milik yang didakwa melibatkan bapa seorang Adun Pulau Pinang.

Chow berkata beliau tidak menerima sebarang maklumat tentang siasatan SPRM namun bersedia bekerjasama dengan SPRM dalam siasatan berhubung perkara tersebut.

Beliau juga menasihatkan semua mangsa supaya membuat laporan polis jika ada cubaan meminta wang bagi membantu mereka mendapatkan rumah kerajaan.

“Semua mangsa harus tampil membuat laporan polis sekiranya perkara yang didakwa ini benar-benar berlaku supaya siasatan yang lanjut dapat dijalankan,” katanya.

Isu ini terbongkar Isnin lepas, apabila Naib Pengerusi Gerakan Pulau Pinang Oh Tong Keong mendedahkan klip video yang memaparkan rakaman perbincangan mengenai pembayaran untuk mendapatkan rumah kerajaan negeri.

Oh berkata isi kandungan perbualan dalam video itu menunjukkan ia dirakamkan tahun lepas dan bapa Adun berkenaan dilihat bersama-sama seorang orang tengah sedang melayaan aduan daripada seseorang yang dipercayai membuat pembayaran namun tidak mendapat rumah itu.

Pautan:

Gerakan dedah video bapa Adun DAP terlibat rasuah

 

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.