
Khalid berkata semua suspek menerima arahan daripada Mohamad Wanndy Mohamad Jedi untuk melancarkan serangan di beberapa lokasi termasuk pusat hiburan di Kuala Lumpur, kuil di Batu Caves, Selangor, balai polis atau mana-mana anggota polis dengan menggunakan bom tangan (grenade) atau senjata api pada malam tadi.
Katanya, susulan tangkapan itu polis merampas sebutir bom tangan jenis K75, sepucuk pistol jenis cz2075 dan 24 butir peluru berukuran 9mm, di mana semua bahan itu dibekalkan oleh Wanndy.
“Ketiga-tiga suspek merancang berlepas ke Syria untuk menyertai kumpulan IS dengan bantuan Wanndy selepas berjaya melancarkan serangan itu,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Dalam operasi di sekitar Selangor, Kuala Lumpur dan Pahang itu, ketiga-tiga suspek ialah rakyat Malaysia berusia antara 20 hingga 27 tahun dan menganggotai sel yang sama.
Semua suspek ditangkap kerana disyaki melakukan kesalahan berkaitan keganasan dan akan disiasat mengikut prosedur di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) (Sosma) 2012 (Akta747),” katanya.
Sebelum ini, polis menangkap 9 suspek terlibat dalam kegiatan kumpulan pengganas IS, antara 20 Julai hingga 9 Ogos 2016 dengan 3 daripadanya warga asing dan 6 rakyat Malaysia berusia antara 17 hingga 56 tahun termasuk yang terbabit dalam serangan di kelab malam Movida.
Pautan;
Cuba lari, cuba sembunyi, 2 lagi suspek serangan Movida disambar polis