
Ketua menteri, Lim Guan Eng yang dipetik Sin Chew Daily berkata, kerajaan negeri tidak akan membiarkan rakyat negeri itu dibuli dan sehingga kini, Beijing Urban Construction Group (BUCG) belum memberi sebarang penjelasan kepada keluarga mangsa dan masyarakat.
“Pulau Pinang tidak benarkan sikap sedemikian, kalau buat salah mereka perlu tanggung. Saya mahu beritahu kontraktor itu, tidak kira kamu berasal dari mana, tanpa penjelasan jangan mimpi hendak dapat projek di Pulau Pinang,” katanya dalam satu majlis semalam.
Lim berkata, beliau sudah mengarahkan kontraktor utama projek pembinaan terowong dasar laut, Consortium Zenith menyampaikan mesej itu kepada rakan kongsi mereka, BUCG.
Dalam kejadian 7.20 malam Khamis itu, Chin Khoon Sing maut serta-merta di tempat kejadian akibat kecederaan parah di tengkuk, dada dan rusuk kanan, selepas dihempap serpihan besi kren seberat 1,000 kilogram yang jatuh dari tingkat 20 bangunan hotel dalam pembinaan, bersebelahan pusat beli-belah Pavilion.
Sementara itu, Timbalan Ketua Pengarah (Keselamatan Pekerjaan) Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP), Omar Mat Piah berkata, pihaknya belum menerima laporan penambahbaikan tahap keselamatan projek daripada BUCG sejurus notis diberikan kepada kontraktor dan arahan berhenti operasi sudah dikeluarkan bagi memudahkan siasatan menyeluruh dijalankan.
“Setakat ini, kami belum kenal pasti pihak mana terlibat. Kami sedang mengumpul maklumat dan petang ini kami akan bincang tindakan seterusnya,” katanya ketika dihubungi FMT hari ini.
Menurut Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994, kontraktor utama tapak pembinaan bertanggungjawab memastikan keselamatan penggunaan kren menara di tapak pembinaan.
Jumaat lalu, BUCG (M) Sdn Bhd mengesahkan ia mengetuai projek pembinaan hotel oleh Harmoni Perkasa Sdn Bhd, di mana Yekon Equipment (M) Sdn Bhd adalah pemilik kren yang dikendalikan Sufiyan Enterprise.
Menurut syarikat itu, projek berkenaan sudah dihentikan buat sementara sehingga dimaklumkan pihak berkuasa terbabit dan mereka akan menghubungi keluarga mangsa untuk menghulurkan bantuan.
Pautan:
Besi kren hempap kereta: Keputusan saman selepas kebumi mangsa
Pemandu wanita maut dihempap besi kren 1,000kg dekat Pavilion KL