
Majistret Nik Isfahanie Tasnim Wan Ab Rahman membenarkan permohonan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di Mahkamah Majistret di sini untuk menahan reman lelaki berusia 65 tahun itu, sehingga 5 September.
Lelaki itu tampil memberi keterangan di ibu pejabat SPRM Kuala Lumpur sebelum dibawa ke pejabat SPRM Putrajaya dan ditahan pada 3 petang semalam.
Pengarah Siasatan SPRM Datuk Azam Baki berkata semalam akaun bank Tan Sri itu mengandungi wang hampir RM1 juta dibekukan.
Tan Sri berkenaan adalah orang ketiga dari bank itu ditahan SPRM berhubung kes yang sama.
Sementara itu, 4 lelaki termasuk pengarah urusan bank yang sama bergelar Datuk, bekas pengarah perolehan bank dan 2 pemilik syarikat penerbitan yang tamat tempoh reman hari ini dibebaskan SPRM setelah siasatan selesai.
Setakat ini, 7 individu ditahan SPRM bagi membantu siasatan kes itu dan 4 daripada mereka dibebaskan hari ini.
Kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 23 Akta SPRM 2009.