
Pengerusinya, Tan Sri Noh Omar berkata langkah kerajaan pakatan pembangkang memansuhkan keistimewaan Bumiputera itu hanya menguntungkan pemaju manakala rakyat terus tertekan untuk memiliki rumah.
“Memansuhkan diskaun 10% pembeli Bumiputera akan menguntungkan pemaju dan menyusahkan rakyat, sebab sekarang ini projek perumahan rakyat hanya mampu tengok saja di Selangor bukan mampu milik.
“Sepatutnya kerajaan Selangor kekalkan apa yang dilakukan BN sebelum ini kerana ia membantu rakyat,” kata Noh yang juga menteri kesejahteraan bandar, perumahan dan kerajaan tempatan (KPKT) kepada FMT.
Menteri Besar Selangor Datuk Seri Azmin Ali sebelum ini berkata syarat kaum untuk kediaman kategori mampu milik jenis SoHo, SoVo dan pangsapuri berservis tidak lagi digunakan bermula September supaya semua bangsa mampu memiliki rumah sendiri.
Penyelaras Adun BN Selangor Mat Nadzari Ahmad Dahlan berkata pemansuhan diskaun untuk Bumiputera itu menunjukkan Azmin tertekan dengan pengaruh DAP yang tidak menyokong akta memberi keistimewaan kepada Bumiputera.
“Tindakan mereka zalim dan tidak adil, tidak melihat kepentingan sistem kuota secara menyeluruh. Saya rasa Azmin tertekan dengan pengaruh DAP yang memang nampak anti akta berkenaan.
“Itulah akibatnya kalau sebuah kerajaan tidak faham apa yang termaktub dalam perlembagaan yang adanya keistimewaan untuk Bumiputera.
“Kejahilan dan kedegilan mereka terus membodohkan masyarakat umum seolah-olah Bumiputra tafsirannya hanya orang Melayu tanpa mengambil kira Orang Asli yang lebih miskin, warga Sabah dan Sarawak yang ramai mencari rezeki di Selangor ini juga Bumiputera,” katanya kepada FMT.
Katanya, pengertian sempit tentang Bumiputera yang diamalkan kerajaan Selangor jauh ketinggalan.
“Cara mereka mengurus kehendak rakyat jauh panggang daripada api, sangat berbeza daripada dilakukan BN. Pemikiran ‘helicopter view’ mereka kabur, ‘fish eye view’ mereka ditutupi jerebu tebal,” katanya.
Mengikut garis panduan pembangunan baharu harga jualan bagi SoHo dan SoVo ditetapkan pada RM230,000 seunit manakala pangsapuri berservis RM250,000 ke kategori mampu milik dan mengekalkan kuota pemilikan 30% oleh pembeli Bumiputera.
Pautan: