
Jawapannya ialah di sebuah restoran di Bukit Bintang.
Mandarin Palace, yang terletak di Hotel Federal di Bukit Bintang, Kuala Lumpur, pernah dijadikan tempat mesyuarat kabinet dipengerusi perdana menteri pertama, Tunku Abdul Rahman.
Nancy Huang, seorang pengurus Hotel Federal yang sudah bekerja di situ sejak 1967, berkata pada masa itu bangunan Parlimen yang mula dibina pada 1962 belum siap, manakala hotelnya juga tidak ada bilik persidangan.
“Oleh itu, Tunku dan kabinetnya bermesyuarat di dalam restoran,” katanya kepada FMT.
Restoran tersebut dengan ukiran naga dan dinding merahnya masih sama seperti pertama kali di buka pada 1957, tahun Persekutuan Tanah Melayu mengisytiharkan kemerdekaan daripada Britain.
Huang masih ingat rakan sekerjanya ketika itu memuji Tunku kerana sikap ramahnya.
Hotel Federal yang merupakan hotel bertaraf antarabangsa pertama di Malaysia, dibina oleh Tan Sri Low Yat, ayah kepada ahli perniagaan Tan Sri Low Yow Chuan, atas cadangan Tunku dalam persediaan menjelang kemerdekaan.
Huang berkata pembinaan itu dilakukan rancak dan usaha itu akhirnya berjaya apabila hotel itu beroperasi hanya 3 hari sebelum 31 Ogos, 1957, dan menjadi tuan rumah kepada tetamu penting negara yang hadir menyaksikan upacara Merdeka.
Pelbagai gambar hari bersejarah tersebut kini mencorak dinding hotel itu.
Huang masih ingat ketika Hotel Federal satu masa dulu merupakan nadi utama bandar raya Kuala Lumpur.
“Warga kota ke BB Park untuk berhibur seperti menyertai joget, menonton wayang dan permainan lain,” katanya.