Azmin: Selangor hapuskan syarat kaum untuk 3 jenis kediaman

Azmin: Selangor hapuskan syarat kaum untuk 3 jenis kediaman

Kini pembeli bukan Bumiputera dan Bumiputera menikmati harga selaras untuk kediaman jenis SoHo, SoVo dan pangsapuri berservis

azmin-house
SHAH ALAM:
Syarat kaum untuk kediaman kategori mampu milik jenis SoHo, SoVo dan pangsapuri berservis tidak lagi digunakan supaya semua bangsa mampu memiliki rumah sendiri, kata Menteri Besar Selangor.

“Secara prinsipnya, ia menunjukkan kita melihat kemiskinan merentasi kaum dan agama,” kata Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dalam sidang media di Kompleks Taman Seni Islam Selangor, hari ini.

Terdahulu, Nanyang Siang Pau melaporkan diskaun 10% untuk pembeli Bumiputera bagi pembelian SoHo (rumah berpejabat), SoVo (rumah berpejabat maya) dan pangsapuri berservis akan dimansuh mulai 1 September (Khamis) ini.

Mengikut garis panduan pembangunan baharu itu, Exco Datuk Teng Chang Khim dilaporkan berkata paras harga jualan bagi SoHo dan SoVo akan ditetapkan pada RM230,000 seunit manakala pangsapuri berservis RM250,000 – ke kategori mampu milik.

Garis panduan baharu itu mengekalkan kuota pemilikan 30% oleh pembeli Bumiputera.

Menjelaskan kepada Malaysiakini, Chang Khim berkata harga pembelian tiga jenis hartanah itu diturunkan sebanyak 10% supaya pembeli Bumiputera dan bukan Bumiputera menikmati harga selaras.

Tambahnya lagi, pelarasan harga itu digunakan hanya untuk hartanah program perumahan mampu milik kerajaan negeri.

“Kita tidak mansuhkan diskaun 10% (untuk Bumiputera),” tegas Azmin. “Untuk perumahan mampu milik, sama ada SoHo atau yang lain, atas nama mampu milik dan kos rendah, tak dikenakan dengan syarat kaum.”

PAUTAN:

‘Mansuh diskaun Bumiputera pastikan harga berpatutan untuk semua’

Beli unit Soho di Selangor tiada lagi diskaun Bumiputera

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.