
Beliau berkata antara alasan yang diberikan termasuk mereka ragu mengenai status halal haram vaksin selain bimbang dengan kesan sampingannya.
“Kebanyakan yang menolak ini juga adalah orang Melayu dan ada antaranya lebih cenderung memilih untuk mendapatkan rawatan alternatif di samping lebih mempercayai pendapat golongan antivaksin yang bergerak aktif,” katanya kepada pemberita pada Forum Awam Imuniasi Perak di sini hari ini.
Menurut Dr Juita, sepanjang tahun ini sebanyak 246 kes penolakan imunisasi vaksin direkodkan di Perak dengan 158 daripadanya dilaporkan oleh Klinik Kesihatan atau Klinik Desa.
Selain itu, 76 lagi kes direkodkan oleh pasukan kesihatan manakala 12 lagi kes dicatatkan di sekolah.
Selain itu Dr Juita berkata pihaknya merancang untuk mendakwa ibu bapa di bawah Akta Perlindungan Kanak-kanak 2001 sekiranya anak-anak mereka dijangkiti penyakit gara-gara tidak mendapat imunisasi.
“Ini adalah untuk melindungi kanak-kanak tersebut sekiranya anak mereka terkena jangkitan kerana tidak tidak diberi suntikan kita akan rujuk kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat,” katanya.
Pada Jun lalu, Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat memaklumkan ibu bapa yang enggan memberi suntikan vaksin dan imunisasi kepada anak mereka hingga boleh membahayakan kesihatan kanak-kanak lain boleh dihukum mengikut Akta Kanak-Kanak 2001 (Akta 611) kerana menganiaya kanak-kanak.
Menurut kenyataan kementerian, keengganan ibu bapa memberi suntikan itu menjadi punca merebaknya jangkitan yang mengancam nyawa kanak-kanak dan boleh disifatkan sebagai penganiayaan.
Menyentuh mengenai satu kes difteria di Perak, Dr Juita berkata kanak-kanak perempuan berumur empat tahun itu yang kini dirawat di Hospital Taiping berada dalam keadaan stabil.
“Beliau kini sedang menerima rawatan antibiotik selama 14 hari dan selepas tamat (rawatan) akan dibenarkan keluar dari hospital,” katanya.