Bot terbalik dipukul ombak: Mayat pekerja kuari lemas ditemui

Bot terbalik dipukul ombak: Mayat pekerja kuari lemas ditemui

Mayat Rosmin Selamat ditemui orang ramai di Perairan Gurney pada jam 8.04 pagi tadi.

bot-terbalik
PETALING JAYA:
Mayat seorang pekerja kuari tempatan yang hilang selepas bot dinaiki bersama enam pekerja lain terbalik di Perairan Gurney, Pulau Pinang, ditemui hari ini.

Timbalan Pengarah (Operasi) Daerah Maritim 2 Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Pulau Pinang, Azman Samsudin berkata, mayat Rosmin Selamat ditemui orang ramai di Perairan Gurney pada jam 8.04 pagi tadi.

Beliau berkata, bot yang dinaiki mangsa berusia 62 tahun itu bersama 6 rakan sekerjanya terbalik akibat dipukul ombak kuat, ketika dalam perjalanan pulang dari Pulau Jerejak kira-kira 9 malam Jumaat lalu.

“Operasi mencari dan menyelamat (SAR) diaktifkan sejurus menerima panggilan kecemasan daripada orang awam. Bagaimanapun, operasi itu ditangguhkan pada jam 7.40 malam semalam akibat ombak besar dan cuaca gelap, sebelum disambung semula pada 7.30 pagi hari ini,” katanya dalam satu kenyataan.

Dalam kejadian kelmarin, tujuh lelaki terbabit dalam perjalanan dari Pulau Jerejak ke Pantai Utara untuk menghantar batu bagi kegunaan benteng ombak.

Setakat jam 10.30 malam Jumaat lalu, lima pekerja berusia 26 hingga 35 tahun yang berasal dari Indonesia dan seorang lelaki tempatan berusia 72 tahun yang dipercayai adalah majikan mereka, berjaya diselamatkan.

Azman berkata, mayat mangsa diserahkan kepada polis dan operasi SAR yang turut disertai Jabatan Bomba dan Penyelamat, polis, Jabatan Pertahanan Awam Malaysia serta orang awam itu ditamatkan pada 10 pagi tadi.

Orang ramai boleh menghubungi Malaysian Emergency Respond System (MERS 999) atau Pusat Operasi Maritim Pulau Pinang di talian 04-2626146 jika mempunyai sebarang maklumat berhubung jenayah dan kemalangan yang berlaku di perairan negara.

Pautan:

6 pekerja kuari terselamat, seorang hilang selepas bot terbalik

 

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.