
Beliau berkata, unit khas yang ditubuhkan di bawah Bahagian Staf Perisikan Pertahanan ATM, tahun lalu, bertanggungjawab memantau dan menghalang sebarang bentuk pencerobohan terhadap sistem pertahanan negara.
“Pihak ATM dan Mindef tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang cuba mengganggu-gugat keselamatan dan pertahanan negara melalui apa jua cara, termasuk atas platform siber.
“Banyak negara terkapai berhubung aset sensitif dan baru-baru ini ada beberapa negara mengalami kebocoran maklumat mengenai kapal selam Scorpene mereka.
“Jika sistem ini dapat menghalang pencerobohan pihak luar, tidak mustahil ia dapat digunakan kementerian lain selepas ini,” kata Naib Presiden Umno itu pada sidang media selepas merasmikan mesyuarat Umno Bahagian Gombak di Setiawangsa, hari ini.
Semalam, Hishammuddin berkata, kapal selam Scorpene milik Malaysia tidak terbabit dalam isu kebocoran maklumat sensitif syarikat pengeluarnya seperti dilaporkan media Australia.
Beliau berkata, maklumat yang bocor itu dikatakan hanya membabitkan kapal selam dibina syarikat pertahanan Perancis itu untuk Tentera Laut India, kerana kapal selam Malaysia mempunyai spesifikasi berbeza berbanding negara lain.
Rabu lalu, The Australian melaporkan kebocoran maklumat dokumen sulit setebal 22,400 muka surat yang mendedahkan secara terperinci kemampuan kapal selam Scorpene dibina untuk Tentera Laut India.
Menurut laporan itu, pembina kapal, DCNS dalam komunikasi dengan pemerintah Australia memberi bayangan kebocoran berlaku di pihak India, bukannya di pihak Perancis.
Mengulas lanjut, Hishammuddin berkata, pencerobohan maklumat pertahanan negara berlaku di semua negara.
“Ini kerana dunia siber merupakan satu bentuk persekitaran tanpa sempadan, di mana komuniti terlibat tidak pernah mempunyai persempadanan khusus serta terkawal, malahan sentiasa boleh diubah-ubah.
“Platform siber juga boleh digunakan semua pihak berkepentingan, sama ada individu, perkumpulan atau organisasi, termasuk mereka yang mempunyai unsur-unsur keganasan dan terrorisme, contohnya IS.
“Justeru, ancaman siber perlu sentiasa ditangani dengan bijak dan berhati-hati, kerana sumber dalamannya mudah dieksplotasi dalam aktiviti serangan siber,” katanya.
Kebocoran data: Scorpene Malaysia tidak terjejas, kata Panglima TLDM