IS dan Syiah tak sama, Ayob Khan setuju dengan Nur Jazlan

IS dan Syiah tak sama, Ayob Khan setuju dengan Nur Jazlan

Ia susulan Nur Jazlan mempersoalkan dakwaan seorang pemimpin Pemuda Umno yang aliran Syiah sama bahaya dengan keganasan IS.

Free Malaysia Today
PETALING JAYA: Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay senada dengan Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Nur Jazlan Ahmad yang menyeru pihak tertentu jangan menyamakan fahaman aliran Syiah dengan bahaya acaman militan IS.

“Timbalan menteri (Nur Jazlan) sudah keluar kenyataan,” katanya ringkas kepada FMT, ketika diminta mengulas komen Nur Jazlan yang keganasan tidak mengenal aliran Syiah atau Sunnah.

Ayob merupakan antara pegawai polis yang mendepani usaha melawan keganasan di bawah Bahagian Counter Terrorism Bukit Aman.

Nur Jazlan sebelum ini mempersoalkan Datuk Fathul Bari Mat Jahya, selepas agamawan Pemuda Umno itu berkata fahaman Syiah sama bahaya dengan IS dan perlu diberi layanan sama seperti mana ke atas pengganas IS.

“Saya rasa kenyataan macam itu bahaya,” kata Nur Jazlan kepada FMT.

“Pengganas ini hanya musuh Islam sahaja. Untuk saya, kita mengamalkan toleransi di Malaysia ini dan kita saling meghormati Islam di negara kita,” katanya yang mengingatkan supaya persengketaan mazhab tidak dibawa ke negara ini.

Turut senada ialah Mufti Pulau Pinang, Datuk Dr Wan Salim Wan Mohd Noor, yang berkata walaupun beliau bersetuju fahaman Syiah boleh memecah belahkan umat Islam di Malaysia, keutamaan semasa perlu ditumpukan ke arah mengekang IS.

“Kalau dari sudut kepentingan negara dalam keadaan sekarang kita lihat fokus perlu diberikan kepada bahayanya fahaman IS, sebab kalau ia merebak di kalangan anak muda, kita bimbang. Kalau kita tidak cegah, ia lebih bahaya dan sukar nak kawal.

“Tetapi berbeza dengan faham Syiah kerana kerajaan Islam dunia masih lagi yang menganggap Syiah itu masih Islam dan mereka tidak terkeluar daripada Islam,” katanya, yang menambah fahaman Syiah dianggap bahaya di negara ini kerana orang Melayu berpegang kepada Sunnah wal Jama’ah dan ditakuti berpecah belah akibat penyusupan mazhab lain.

Wan Salim berharap umat Islam Malaysia diberi penerangan terperinci tentang perbezaan mazahab bagi mengelak ia disalah tafsir sehingga boleh menghancurkan agama.

Mufti Perak setuju dengan Fathul

Sebaliknya, Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria mahu usaha digandakan menentang fahaman Syiah kerana bimbang berlaku pembunuhan sesama Islam seperti mana IS.

“IS ini dia membunuh, kalau IS ini membunuh orang, Syiah ini dia membunuh kepercayaan.

“Jadi serupa sahaja ia menyesatkan orang. Dua-dua ini bahaya perlu dikekang kerana ia akan mencetuskan perbalahan sesama Islam,” katanya.

Beliau turut mahu kedutaan Iran, antara negara Islam bermajoriti Syiah, tidak membenarkan rakyatnya menyebarkan aliran itu di Malaysia.

“Saya cuma harapkan orang Iran dan kedutaan Iran yang ada di sini supaya fahaman Syiah itu dikekalkan di Iran,” kata Harussani kepada FMT.

Aliran Syiah yang menjadi ikutan majoriti umat Islam di Iran, Iraq, Bahrain dan beberapa bahagian Arab Saudi dan negara teluk, berbeza pandangan dengan aliran Sunnah mengenai rujukan serta beberapa peristiwa awal sejarah Islam.

Pengikut Syiah juga kerap menjadi sasaran keganasan pejuang IS, kumpulan militan yang mengamalkan fahaman Wahabi, sejenis ajaran melampau Sunnah berasal dari Semenanjung Arab.

Malaysia merupakan satu-satunya negara di mana pihak berkuasa agama secara rasmi mengharamkan umat Islam berfahaman Syiah.

 

Pautan:

Jangan tuduh Syiah sama bahaya macam IS, kata Nur Jazlan

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.