MCA minta kerusi tambahan di Sabah

MCA minta kerusi tambahan di Sabah

Hiew mencadangkan parti komponen BN di Sabah mengadakan perbincangan mengenai pembahagian kerusi lama dan baharu, termasuk melakukan rombakan kecil.

Hiew-King-Cheu
PETALING JAYA:
MCA meminta kerusi tambahan di Sabah, susulan 13 kerusi baharu yang diluluskan Dewan Undangan Negeri (DUN), awal bulan ini.

Adun MCA Luyang, Hiew King Cheu berkata, MCA banyak menyumbang kepada pembangunan negara sejak 67 tahun lalu dan kehilangan beberapa kerusi di Sabah pada 2008 serta 2013, tidak bermakna parti itu tidak boleh memberi prestasi lebih baik pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

“Di bawah kepimpinan Presiden, Datuk Seri Liow Tiong Lai dan Timbalan Presiden merangkap Pengerusi MCA Sabah, Datuk Seri Wee Ka Siong serta ramai pemimpin cemerlang lain, mereka berusaha mentransformasi MCA menjadi sebuah parti dinamik dan berprestasi tinggi di Malaysia.

“Jadi, ia perlu dipertimbangkan untuk diberikan kerusi tambahan bagi bertanding di kawasan DUN dan Parlimen,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Hiew mencadangkan parti komponen BN di Sabah mengadakan perbincangan mengenai pembahagian kerusi lama dan baharu, termasuk melakukan rombakan kecil untuk memastikan rakyat terus memberi mandat kepada BN pada PRU14.

Beliau yakin pengundi akan lebih menyokong dan menerima BN, dengan adanya pembahagian kerusi secara “teliti dan pelarasan halus”.

“Pengundi akan melihat parti komponen BN membuat perancangan lebih baik untuk berkhidmat dan mewujudkan tadbir urus lebih baik, cekap dan berkesan di Sabah dan negara ini selepas PRU14, tetapi tentunya dengan calon sesuai dan boleh menang,” katanya.

Beliau berkata, ahli MCA turut memainkan peranan aktif dengan berkhidmat kepada penduduk di Sabah, termasuk daripada segi pendidikan, kebajikan dan ekonomi.

Pada 9 Ogos lalu, DUN Sabah meluluskan pindaan Rang Undang-undang Perlembagaan Negeri Sabah untuk menambah jumlah kerusi daripada 60 kepada 73.

Seramai 55 adun menyokong pindaan itu, manakala tiga wakil rakyat pembangkang tidak setuju, seorang berkecuali serta Adun BN Lahad Datu, Datuk Yusof Apdal tidak hadir.

BN memenangi 48 daripada 60 kerusi di DUN Sabah pada PRU13, manakala Pakatan Harapan mempunyai 11 kerusi dan baki satu kerusi dimenangi Parti Reformasi Negeri (STAR).

Pakatan Harapan kehilangan dua wakil rakyat, apabila Datuk Jelani Hamdan (Matunggong) dan Jeremy Malajad (Kadamaian) keluar daripada PKR dan menjadi calon Bebas pada November 2013.

Manakala Hiew pula meninggalkan DAP sebelum menyertai MCA, menjadikan Luyang adalah satu-satunya kerusi dimiliki MCA Sabah ketika ini.

Adun Sulabayan, Datuk Jaujan Sambakong pula menjadi calon Bebas selepas keluar daripada Umno pada akhir Jun lalu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.