Dakwaan kes cabul di maahad milik penceramah popular disiasat

Dakwaan kes cabul di maahad milik penceramah popular disiasat

Polis berkata keterangan 10 individu diambil susulan ada pelajar baharu maahad itu dikatakan dicabul selain berlaku seks luar tabii, menjadi viral di WhatsApp baru-baru ini.

rahim
IPOH:
Polis mengesahkan menerima laporan mengenai dakwaan pencabulan seksual di sebuah maahad tahfiz di sini yang dimiliki seorang penceramah bebas terkemuka.

Ketua Polis Ipoh Datuk Seri Abdul Rahim Hanafi berkata setakat ini pihaknya mengambil keterangan daripada 10 individu termasuk pelajar, pengadu dan pihak sekolah terbabit.

“Memang ada laporan dibuat dan polis sedang menjalankan siasatan dan akan melengkapkannya secepat mungkin.

“Dalam hal ini kita kena berhati-hati dan teliti serta menjaga semua aspek,” katanya kepada pemberita pada majlis Kibarkan Jalur Gemilang Peringkat Polis Diraja Malaysia Negeri Perak.

Rahim diminta mengulas mengenai viral menerusi WhatsApp baru-baru ini mengenai beberapa pelajar baharu di maahad tahfiz berkenaan yang dikatakan dicabul selain berlaku seks luar tabii.

Rahim berkata kes tersebut disiasat mengikut Seksyen 377E iaitu merangsang seorang kanak-kanak (bawah 14 tahun) untuk melakukan sesuatu perbuatan kelucahan melampau yang membawa hukuman penjara sehingga 5 tahun dan sebatan.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk) Datuk Mohd Yusop Husin berkata pihaknya membuat lawatan ke mahaad tahfiz berkenaan beberapa hari lalu.

“Dalam lawatan itu, pegawai JAIPk menemu ramah beberapa pelajar,” katanya.

Yusop berkata walaupun berdaftar dengan JAIPk, segala urusan pentadbiran termasuk pengambilan pelajar dikendalikan sepenuhnya oleh maahad tahfiz berkenaan kerana ia merupakan institusi swasta.

 

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.