Suspek pengebom Thai disyaki lari ke Malaysia

Suspek pengebom Thai disyaki lari ke Malaysia

Suspek pengebom Thai disyaki lari ke Malaysia.

thai
PETALING JAYA:
Suspek siri pengeboman di tujuh wilayah di Thailand pada awal bulan ini disyaki melarikan diri ke Malaysia sementara segelintir lagi masih bersembunyi di beberapa lokasi di Thailand.

Ketua Renjer Pasukan Petugas 41, Kol Sitthisak Janebunjong yang mengetuai operasi pencarian suspek pengeboman berkata, pihaknya percaya semua suspek berasal dari Pattani dan Narathiwat.

Beliau berkata demikian dalam temu ramah dengan Bangkok Post selepas operasi pengepungan di sebuah sekolah Islam di daerah Pattani, Yarang untuk mencari lelaki berusia 24 tahun, antara yang terlibat dalam siri pengeboman itu.

Operasi itu turut disertai pasukan pegawai tentera, pasukan polis dari Yarang bersama-sama penyiasat keselamatan mencari suspek bernama Mudsaifudeen Lohmeang, 24, seorang penduduk Pattani.

Bagaimanapun, polis tidak dapat mencari Mudsaifudeen kerana dia dipercayai meloloskan diri terlebih dalu, lapor portal itu lagi.

Mudsaifudeen salah seorang suspek serangan bom di beberapa destinasi pelancongan utama negara itu yang membunuh empat orang dan mencederakan 35 yang lain termasuk warga asing.

Pada 11 dan 12 Ogos lalu, enam serangan bom berlaku di enam wilayah selatan Thailand iaitu Krabi, Nakhon Si Thammarat, Phangnga, Phuket, Surat Thani dan Trang, sementara satu di wilayah tengah berhampiran Prachuap Khiri Khan, selatan Bangkok.

Pihak berkuasa menerima maklumat Mudsaifudeen sedang bersembunyi di Sadawa, kata Sitthisak.

“Saya mengucapkan terima kasih kepada pengetua sekolah dan pelajar yang bekerjasama sewaktu pengepungan dilakukan,” kata Sitthisak.

Sementara itu, polis menahan seorang suspek, Ibroheem Tayeh, 37, dan membawanya ke Kem Tentera Inkayut di daerah Nong Chik, Pattani untuk soal siasat.

Dia ditahan ketika berada di rumahnya di sebuah kampung di Moo 2, Krado di daerah Yarang bersama isteri dan anaknya.

 

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.