Nawawi minta maaf kaitkan Agong dengan MO1

Nawawi minta maaf kaitkan Agong dengan MO1

Ahli Parlimen Langkawi itu turut berjanji akan berhati-hati memberi komen di media sosial.

Langkawi MP Nawawi Ahmad
PETALING JAYA:
Selepas menerima bantahan ramai, Ahli Parlimen Langkawi, Datuk Nawawi Ahmad akhirnya memohon maaf kepada Yang Di-Pertuan Agong kerana mengaitkan baginda dengan identiti “Malaysian Official 1” (MO1) yang disebut Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat (DOJ) dalam permohonannya menyita aset berkait 1MDB.

“Penyataan mohon maaf ini dibuat atas kesedaran dan rasa tanggungjawab saya sendiri tanpa dipengaruhi oleh mana-mana pihak dengan kerelaan hati saya sendiri.

“Ampun Tuanku, sembah patik pohon diampun,” tulis Nawawi dalam kenyataan 2 muka suratnya.

Minggu lalu, Nawawi dalam beberapa komen bersama pengguna Facebook berkata ungkapan “MO1” itu merujuk kepada Agong, dengan memberi alasan pegawai nombor satu negara menurut Perlembagaan Persekutuan adalah Agong.

“MO1 ialah Malaysian Official No 1. Mengikut perlembagaan negara, kerajaan negara ini dibentuk dari 3 entiti utama yang berasingan dan independent iaitu 1) badan kehakiman diketuai chief justice atau ketua hakim negara 2) badan perundangan parlimen diketuai Yang Dipertua Dewan, Tan Sri Pandikar dan 3) badan eksekutif diketuai oleh YAB Perdana Menteri.

“Semua ketiga-tiga badan ini bertanggungjawab pada DYMM Agong. Maka mengikut perlembagaan, MO1 ialah Agong,” tulisnya.

Posting itu bagaimanapun diubah menghilangkan rujukan kepada Agong.

Ia mencetuskan kemarahan, dengan pelbagai pihak menggesa pihak berkuasa menyiasat pemimpin Umno itu kerana menghina Agong. Nawawi bagaimanapun mendakwa kenyataannya diputar belit.

Sebelum ini, Nawawi berkata beliau akan hanya memohon maaf sekiranya diperintahkan berbuat demikian oleh Agong.

Dalam suratnya kepada Agong yang dimuat naik di Facebook hari ini, Nawawi berjanji akan berhati-hati dalam membuat sebarang komen di media sosial dan “tidak lagi menulis yang melibatkan DYMM Tuanku sebagai Sultan berdaulat yang disembah di Negara ini”.

“Untuk rakyat Malaysia, tak kira samada saya salah atau di pihak yang benar, saya memohon maaf yang menyebabkan berlaku kekeliruan ini,” katanya.

DOJ pada bulan lalu berkata lebih AS$3.5 bilion (RM14 bilion) dilencongkan daripada dana 1MDB yang diasaskan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak pada 2009.

Tuntutan sivil AS itu mahu merampas AS$1 bilion (RM4 bilion) aset yang didakwa digelapkan itu dan dipindahkan ke Amerika Syarikat melalui syarikat kosong (shell companies).

Dokumen hasil siasatan DOJ tidak menamakan Najib, sebaliknya merujuk kepada “MO1”, yang dikatakan mempunyai pertalian dengan Riza Aziz, anak tiri Najib yang dituduh menyalahgunakan dana 1MDB.

PAUTAN:

Polis digesa tangkap Nawawi selepas mendakwa ‘MO1’ merujuk Agong

MO1: Nawawi tersasar jauh, tapi tak perlu Akta Hasutan

Rani Kulup mahu Nawawi minta maaf ‘hina Agong’

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.